Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum beberapa perkara termasuk isu semasa berkaitan pembangunan negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau menjunjung kasih atas perkenan Sultan Sharafuddin menerima menghadap.
“Menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj atas perkenan menerima patik menghadap.
“Dalam pertemuan ini, saya telah menyembah maklum terkait beberapa perkara termasuk isu-isu semasa membabitkan pembangunan negeri Selangor,” katanya.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut mendoakan agar Sultan Sharafuddin serta seluruh Kerabat Diraja Selangor sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT.
Beliau turut mendoakan agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan.
“Dirgahayu Tuanku,” katanya.

