Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PM Sambut Baik Ikhtiar Perdamaian Dilakukan NGO Islam & Hindu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili badan Islam dan Hindu dalam satu pertemuan semalam.
Menerusi satu kenyataan, Anwar berkata usaha itu menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.
"Inilah ruh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
"Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara.
"Salut saya kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha ini. Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional," katanya.
Semalam, 30 wakil kedua-dua komuniti mengadakan sesi pertemuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan sesi berkenaan turut memberikan ruang kepada beberapa individu yang sebelum ini dianggap mencetuskan kontroversi berkaitan isu tersebut, untuk menjelaskan pendirian masing-masing secara langsung bagi membantu meredakan ketegangan.
Memetik laporan Bernama, pertemuan itu mencapai resolusi supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu berkaitan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, antara yang menyertai sesi berkenaan, berkata jawatankuasa itu dicadangkan untuk berperanan sebagai platform rasmi bagi menangani isu sensitif berkenaan, selain memastikan setiap tindakan diambil secara teratur dan mengikut lunas undang-undang.
"Kita bersetuju untuk satu jawatankuasa ditubuhkan oleh pihak kerajaan sama ada di Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menangani isu-isu sensitif sebegini termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran," katanya.