Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, gesa reformasi terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan semua rantau mendapat perwakilan yang lebih adil.
Memetik Anadolu, ketika berucapa pada Perhimpunan Agung PBB, Sanchez turut menyeru supaya kuasa veto yang dimiliki negara anggota tetap Majlis Keselamatan dimansuhkan.
Menurut beliau, perubahan itu penting bagi memastikan setiap rantau di dunia mempunyai suara yang lebih seimbang dalam badan tersebut.
Ujanrya, tiada mana-mana negara sepatutnya mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingannya sendiri, tanpa mengira seberapa besar kuasa yang dimiliki.
Sanchez turut memberi amaran bahawa prinsip yang menjadi asas kepada sistem antarabangsa kini semakin dicabar.
PM Sepanyol Gesa Reformasi Majlis Keselamatan PBB

Beliau berkata keamanan, kelestarian dan peluang yang sama rata kini semakin terancam akibat tindakan segelintir ahli politik serta kerajaan yang mahu membawa dunia kembali ke zaman gelap.
“Saya tidak perlu menyebut siapa mereka. Kita semua tahu siapa mereka dan bagaimana cara mereka bertindak,” katanya.
Dalam ucapannya, Sanchez turut menjelaskan langkah yang diambil Sepanyol dalam menangani konflik antarabangsa, termasuk usaha Madrid menentang tindakan yang bercanggah dengan Piagam PBB.
Antara langkah yang dinyatakan ialah pengenaan sekatan terhadap Rusia serta embargo senjata terhadap kerajaan Israel.
Sanchez turut mengulangi pendirian tegas Sepanyol dalam mengecam apa yang disifatkannya sebagai “genosid” yang masih dilakukan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Gaza.
Menurut Sanchez, kerjasama pelbagai hala kekal sebagai pendekatan terbaik untuk mengurus hubungan saling bergantung antara negara di seluruh dunia.
Beliau turut menggesa agar keyakinan terhadap PBB dipulihkan, selain usaha berterusan untuk memperkukuh organisasi tersebut.


