Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PUTRAJAYA, 27 JUN - Sempena Hari PMKS Antarabangsa 2026, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Di sebalik setiap kedai runcit, restoran, kilang kecil, syarikat perkhidmatan dan perniagaan keluarga, terdapat jutaan rakyat yang bergantung kepada PMKS sebagai sumber rezeki dan asas kehidupan mereka.
Walaupun dunia hari ini berdepan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kos operasi susulan Krisis Bekalan Global (KBG) dan ketidaktentuan geopolitik, sektor PMKS kekal menjadi tunjang ekonomi rakyat dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK Malaysia serta menyediakan lebih 8 juta peluang pekerjaan, bersamaan hampir separuh tenaga kerja negara.
Menyedari betapa pentingnya peranan PMKS kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat, kerajaan MADANI terus komited memperkukuh ekosistem sokongan kepada perusahaan di negara ini.

Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 344 program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan RM31.63 bilion telah disalurkan.
Hasilnya, 6,600 usahawan baharu berjaya diwujudkan, manakala 50,000 PMKS menunjukkan peningkatan pengurusan perniagaan dan 8,000 PMKS berjaya mendigitalkan operasi mereka.
Lebih membanggakan, bagi PMKS yang telah menerima bantuan kerajaan, peningkatan jualan sebanyak RM870 juta dan jualan eksport sebanyak RM6.8 bilion telah direkodkan.
Komitmen ini diteruskan pada tahun 2026. Kerajaan MADANI telah merancang melebihi 300 program pembangunan PMKS dengan peruntukan keseluruhan RM60 bilion, meliputi program pembiayaan, program pembangunan modal insan, program akses kepada pasaran, program Infrastruktur, dan program penerapan teknologi & inovasi bagi membantu lebih banyak perusahaan Malaysia berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Program-program ini dilaksanakan selari dengan kerangka ABCD KUSKOP, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) percaya bahawa apabila PMKS berkembang, ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
Hasrat KUSKOP bukan sekadar melihat PMKS terus berniaga, tetapi membantu lebih banyak PMKS Malaysia naik ke tahap seterusnya - daripada perusahaan kecil kepada syarikat bernilai tinggi, daripada pasaran tempatan ke pasaran antarabangsa, dan daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta nilai dan inovasi.
Selamat menyambut Hari PMKS Antarabangsa 2026. Terus menghebatkan perniagaan Malaysia.