Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PMX Rafak Sembah Tahniah Tunku Mahkota Ismail Dinobatkan MVP JSCPT 2026

MAHKOTA
Kredit: Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas kejayaan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata prestasi cemerlang, kepimpinan dan semangat juang yang ditampilkan Tunku Mahkota Ismail menyerlahkan keunggulan baginda sebagai jaguh sukan yang menjadi kebanggaan rakyat Johor dan seluruh Malaysia.

“Sembah tahniah kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kejayaan dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament 2026, sekali gus memimpin Royal Johor menjulang kejuaraan berprestij ini,” katanya.

Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai MVP JSCPT 2026 semalam selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berkenaan.

Pengiktirafan itu menjadi kemuncak penampilan hebat baginda apabila mengemudi Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 pada aksi final.

Lebih membanggakan, Tunku Mahkota Ismail menyumbang enam daripada keseluruhan 10 gol yang dijaringkan Royal Johor dalam perlawanan tersebut.

JSCPT 2026 yang berlangsung dari 1 hingga 6 September itu merupakan kejohanan polo berstatus 22-gol, sekali gus menjadi pertandingan dengan handikap tertinggi yang dianjurkan di Malaysia setakat ini.

Penganjuran kejohanan berkenaan digerakkan menerusi visi bersama Tunku Mahkota Ismail dan Polito Pieres dalam usaha meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar sukan polo antarabangsa.

Intipati
  • Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Tunku Mahkota Ismail atas gelaran MVP JSCPT 2026.
  • Tunku Mahkota Ismail menjaringkan enam gol ketika Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 di final.
  • Kejohanan 22-gol itu berlangsung 1 hingga 6 September, handikap tertinggi dianjurkan di Malaysia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan