Manchester United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memecat Michael Carrick susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prestasi pasukan sehingga menghampiri zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
Menurut laporan ESPN, Mauricio Pochettino yang kini mengendalikan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menjadi calon pilihan untuk menggantikan Carrick sekiranya keputusan untuk menamatkan khidmat pengurus berusia 45 tahun itu dibuat.
Hierarki Manchester United yang diketuai pengerusi bersama Joel Glazer, pemilik minoriti Jim Ratcliffe, Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak Jason Wilcox kini sedang menilai kedudukan Carrick.
Manchester United mencatat permulaan terburuk dalam sejarah kelab di Liga Perdana Inggeris apabila hanya mengutip satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga setakat ini.
Keadaan itu menyaksikan United hanya dipisahkan satu mata daripada pasukan di tangga terbawah liga.
Sumber memaklumkan perbincangan mengenai masa depan Carrick masih berlangsung dan dijangka diteruskan dalam beberapa hari akan datang.
Pertemuan yang telah dirancang sebelum ini turut berlangsung di Monaco pada Selasa dengan Ratcliffe, Berrada dan Wilcox antara individu yang hadir, pada hari sama Carrick hadir menjalani latihan seperti biasa.
Bagaimanapun, sumber memberitahu ESPN bahawa kini terdapat penerimaan dalam kalangan pihak pengurusan kelab bahawa prestasi dan keputusan semasa memerlukan perubahan di kerusi pengurus.
Pochettino, 54, menyambung kontraknya bersama Persekutuan Bola Sepak AS sehingga 2030 pada Ogos lalu selepas membimbing pasukan itu mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada musim panas ini.
Menurut sumber, bekas pengurus Tottenham, Chelsea dan Paris Saint Germain itu mempunyai klausa pelepasan bernilai AS$10 juta atau kira kira £7.4 juta dalam kontraknya bersama AS.
Jumlah berkenaan perlu dibayar Manchester United sekiranya kelab itu mahu mendapatkan khidmat pengendali kelahiran Argentina tersebut.
Selain Pochettino, bekas pengurus Newcastle United, Eddie Howe turut menjadi antara calon yang mendapat perhatian pihak pengurusan Manchester United.
Julian Nagelsmann yang kini tidak terikat dengan mana mana kelab turut disenaraikan sebagai antara pilihan, manakala Kieran McKenna yang pernah ditemu duga untuk jawatan berkenaan pada 2024 juga mempunyai penyokong dalam kalangan pihak di Old Trafford.
Namun, Pochettino dilihat sebagai calon utama kerana pengalaman luasnya dalam Liga Perdana Inggeris serta personaliti yang dianggap sesuai untuk membantu Manchester United keluar daripada situasi sukar dan mengembalikan prestasi kelab.
Carrick menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Manchester United pada musim panas lalu selepas membimbing kelab itu layak ke Liga Juara Juara Eropah ketika menjadi pengurus sementara bermula Januari.
Sumber berkata pihak kelab sebelum ini percaya Carrick layak diberikan kontrak jangka panjang selepas kejayaannya di Old Trafford pada musim lalu.
Bagaimanapun, beberapa pegawai kanan kelab dilaporkan terkejut dengan kemerosotan prestasi dan keputusan pasukan pada musim ini.
Selepas diberikan peluang untuk memperbaiki keadaan pada bulan lalu, Carrick hanya berjaya mencatat satu kemenangan daripada empat perlawanan selepas mendapat tempoh tambahan untuk membuktikan keupayaannya.
Sumber berkata peluang Carrick untuk terus kekal sebagai pengurus kini semakin tipis.
Carrick dilihat tiba di pusat latihan Carrington pada pagi Selasa ketika masa depannya sedang dibincangkan di Monaco.
Pertemuan di Monaco itu bagaimanapun telah dirancang lebih awal dan dijadualkan berlangsung tanpa mengira spekulasi mengenai masa depan Carrick.
Manchester United dijadualkan bertemu Liverpool di Anfield pada 22 November ini.

