Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Siasat Kes Beberapa Kenderaan Disembur Cat Merah Di Parkir MRT Kajang

MRT
Kredit: Facebook Suharti Jamaluddin

Polis Siasat Kes Beberapa Kenderaan Disembur Cat Merah Di Parkir MRT Kajang

Beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan tempat letak kereta Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang menjadi sasaran perbuatan khianat apabila disembur cat merah oleh individu tidak dikenali, sekali gus mendorong polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 8.29 malam semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pengadu merupakan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang meletakkan kereta jenis Perodua Myvi di luar kawasan parkir stesen MRT berkenaan kira-kira pukul 6 pagi sebelum menaiki perkhidmatan MRT ke tempat kerja.

“Apabila kembali kira-kira pukul 6 petang, pengadu mendapati terdapat kesan semburan cat berwarna merah pada cermin sebelah kanan kenderaannya.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati beberapa buah kenderaan lain yang diparkir di kawasan sama mengalami kesan semburan cat berwarna merah yang dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Naazron berkata, polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-375 5508.