Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nampak Ceria, Hakikatnya Sedang Bertahan - PHM Kongsi Realiti 'High-Functioning Depression'

DEPRESSION
Gambar hiasan.

Nampak Ceria, Hakikatnya Sedang Bertahan - PHM Kongsi Realiti 'High-Functioning Depression'

Di sebalik senyuman, gurauan dan prestasi kerja yang kelihatan baik, tidak semua individu benar-benar berada dalam keadaan emosi yang stabil.

Ada yang terus hadir bekerja setiap hari, menyelesaikan tugasan seperti biasa, namun dalam diam sedang berjuang melawan tekanan yang tidak terlihat oleh mata kasar.

Perkara itu dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook dan Threads semalam bagi meningkatkan kesedaran mengenai high-functioning depression, iaitu keadaan apabila seseorang masih mampu menjalani rutin harian walaupun sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Menurut PHM, masih ramai yang menyangka individu yang sentiasa tersenyum, bergurau dan menunjukkan prestasi kerja yang baik pasti berada dalam keadaan bahagia.

"High-functioning depression is real. Ada yang tetap datang kerja, senyum dan perform seperti biasa, sedangkan dalam diam sedang berjuang untuk bertahan. Just because they can function, doesn't mean their emotions should be ignored," menurut hantaran tersebut.

PHM berkata, kemampuan seseorang untuk terus berfungsi dalam kehidupan seharian tidak bermakna mereka bebas daripada tekanan emosi.

"Masih mampu berfungsi dalam kehidupan seharian tidak bermakna seseorang itu benar-benar baik. Ada yang setiap hari memaksa diri bangun dari tidur, memujuk diri supaya tidak berputus asa dan memakai 'topeng' agar orang lain tidak bimbang," katanya.

Menurut PHM, hanya individu itu sendiri dan Tuhan mengetahui beban emosi yang dipikul, termasuk kesedihan yang dipendam serta perjuangan yang dilalui untuk meneruskan kehidupan setiap hari.

Sehubungan itu, PHM menyeru masyarakat supaya lebih peka terhadap keadaan orang di sekeliling dan mengelakkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan seperti menganggap seseorang hanya "terlalu berfikir" atau membandingkan kesusahan mereka dengan orang lain.

Sebaliknya, ujar PHM, individu yang sedang bergelut dengan tekanan emosi lazimnya lebih memerlukan seseorang yang sudi mendengar tanpa menghakimi berbanding menerima nasihat yang tidak diminta.

Dalam masa sama, PHM turut mengingatkan bahawa mendapatkan bantuan bukanlah satu bentuk kelemahan.

"Meminta pertolongan bukan tanda kalah, sebaliknya menunjukkan seseorang masih memilih untuk meneruskan kehidupan," katanya.

PHM turut menggalakkan mereka yang merasakan beban emosi semakin sukar ditanggung supaya berbincang dengan individu yang dipercayai atau mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental kerana tiada siapa sepatutnya berdepan tekanan itu secara bersendirian.

Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial berkongsi pengalaman masing-masing, sekali gus membuktikan isu tersebut bukan sesuatu yang asing.

Seorang pengguna, @izahj_____, berkata dia pernah melalui fasa berkenaan walaupun orang di tempat kerja menyangka semuanya baik-baik sahaja.

"Saya pernah berada di fasa itu. Kerja nampak okay, bos pun kata tak ada masalah, tapi dalam diri sebenarnya sedang bergelut dengan emosi. Sampai satu tahap saya pilih untuk berhenti, bukan sebab tak mampu bekerja, tapi sebab terlalu penat melawan diri sendiri. Kadang kita cuma perlukan ruang untuk pulih, bukan dipersoalkan kenapa tak kuat," ujarnya.

Sementara itu, @dr.khuen berpendapat lebih banyak inisiatif berkaitan kesihatan mental perlu diwujudkan di tempat kerja.

"What can be done at our workplaces to ensure that employees' mental wellbeing are prioritised? We need better workplace mental health awareness and solutions," katanya.

Seorang lagi pengguna, @ladyvampshia, pula berpandangan isu emosi di tempat kerja masih kurang diberi perhatian.

"Emotions. Tak dipandang pun dekat tempat kerja, yang penting kerja kena selesai. Take over kerja orang lain, yang high functioning kena tahan, yang tak function dilambung-lambung," jelasnya.

Kadangkala, satu pertanyaan ringkas seperti "Awak okay?" atau kesediaan untuk mendengar tanpa menghakimi mampu memberi makna besar kepada seseorang yang sedang berjuang dalam diam.

Intipati
  • PHM menjelaskan high-functioning depression boleh berlaku walaupun seseorang kelihatan ceria dan produktif.
  • Masyarakat diseru mendengar tanpa menghakimi serta mengelakkan kenyataan yang mengguris perasaan.
  • PHM menggalakkan individu terbeban mendapatkan sokongan orang dipercayai atau bantuan profesional kesihatan mental.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan