Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Prabelanjawan 2027 Gagal Tawar Reformasi Struktur Tangani Cabaran Negara - BERSAMA

PRABELANJAWAN
Kredit: Facebook Sum Dek Joe

BERSAMA berpandangan Kenyataan Prabelanjawan 2027 Kerajaan MADANI masih belum menawarkan reformasi struktur yang jelas bagi menangani beberapa cabaran besar negara, termasuk subsidi bahan api, hasil cukai, perlindungan sosial dan kemampanan sistem kesihatan awam.

Jurucakap Dasar BERSAMA, Sum Dek Joe berkata, kerajaan sememangnya telah mengenal pasti pelbagai cabaran yang dihadapi negara, namun hala tuju bagi melaksanakan perubahan struktur yang diperlukan masih tidak mencukupi.

Menurutnya, antara persoalan utama yang masih belum terjawab ialah hala tuju fasa seterusnya reformasi subsidi bahan api bagi mengurangkan pendedahan fiskal negara terhadap turun naik harga tenaga global.

“Isi rumah berpendapatan tinggi yang memiliki beberapa buah kereta mahal masih boleh menikmati harga petrol bersubsidi yang sama seperti pekerja berpendapatan rendah yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki.

“Apabila golongan kaya dan miskin sama-sama layak menikmati petrol bersubsidi sehingga 200 liter sebulan, itu bukan penyasaran subsidi, itu kelas pekerja menanggung subsidi bagi mereka yang paling kurang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dek Joe berkata, Prabelanjawan 2027 juga tidak memberikan gambaran jelas mengenai kaedah memperluas hasil kerajaan bagi membiayai keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Jelasnya, asas hasil cukai negara menurun daripada 14.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 kepada 12.5 peratus KDNK pada 2025, namun reformasi hasil dan strategi memperluas asas cukai secara adil tidak diberikan penekanan sewajarnya.

“Kerajaan tidak boleh menjanjikan hospital, sekolah dan infrastruktur yang lebih baik tanpa menjawab satu soalan mudah: siapa yang akan membayarnya?” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketelusan berkaitan pemberian insentif cukai kepada syarikat besar juga perlu dipertingkatkan supaya rakyat mengetahui jumlah hasil yang dilepaskan, pihak yang menerima manfaat serta pulangan yang diperoleh negara.

Menurutnya, perkara itu penting memandangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan sering berdepan persaingan tanpa menikmati kemudahan atau layanan fiskal yang sama.

“Jika PKS perlu membayar cukai dengan penuh, syarikat besar yang menerima insentif cukai juga wajib menunjukkan kepada rakyat apa yang Malaysia peroleh sebagai balasan,” katanya.

Dek Joe turut membangkitkan isu penuaan penduduk yang disifatkannya semakin mendesak, namun belum disusuli reformasi besar dalam sistem perlindungan sosial.

Katanya, ramai rakyat Malaysia berdepan risiko bersara dengan simpanan tidak mencukupi, manakala sebahagian lagi tidak mempunyai perlindungan persaraan yang kukuh.

“Menangguhkan reformasi hari ini hanya akan memindahkan beban kepada generasi akan datang.

“Jika kita gagal bersedia menghadapi penuaan hari ini, anak-anak kita akan menanggung dua beban esok, iaitu menjaga keluarga sendiri dan pada masa sama menanggung kelemahan sistem yang gagal melindungi ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata, kemampanan sistem kesihatan awam untuk tempoh jangka panjang turut perlu diberikan perhatian lebih serius susulan peningkatan populasi warga emas, penyakit kronik dan kos rawatan.

Ujarnya, ketiadaan hala tuju yang jelas mengenai kaedah pembiayaan sistem kesihatan negara dalam tempoh sedekad akan datang berisiko meningkatkan tekanan terhadap rakyat dan petugas kesihatan.

“Apabila reformasi kesihatan terus ditangguhkan, rakyat membayar dengan masa menunggu yang lebih panjang, manakala doktor, jururawat dan petugas kesihatan kita membayar dengan beban kerja yang semakin berat,” katanya.

Dek Joe berkata, kelemahan utama Prabelanjawan 2027 bukan kerana kerajaan gagal mengenal pasti masalah, sebaliknya keberanian untuk melaksanakan reformasi struktur masih menjadi persoalan.

Jelasnya, Belanjawan 2027 perlu menjadi titik perubahan dengan mengambil keputusan sukar yang diperlukan bagi memastikan kedudukan fiskal, perlindungan sosial dan perkhidmatan awam negara lebih mampan.

“Setiap reformasi yang kita tangguhkan hari ini akan menjadi beban yang lebih besar untuk ditanggung oleh rakyat Malaysia pada masa hadapan,” ujarnya.

Intipati
  • BERSAMA menilai Prabelanjawan 2027 masih kekurangan reformasi struktur menangani cabaran utama negara.
  • Sum Dek Joe membangkitkan isu subsidi bahan api, hasil cukai dan insentif korporat.
  • Beliau turut menekankan reformasi perlindungan sosial dan pembiayaan kesihatan awam jangka panjang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan