Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Prabowo Ke Rusia, Adakan Rundingan Minyak Dengan Putin
Presiden Prabowo Subianto dijadualkan berlepas ke Rusia hari ini bagi mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Vladimir Putin berhubung isu minyak, menurut pejabat beliau.
Pejabat Presiden Indonesia mengesahkan kepada AFP bahawa Prabowo akan berlepas pada petang ini.
Semalam, Menteri Luar Sugiono berkata bahawa minyak, yang dianggap “amat penting dari sudut strategik bagi Indonesia”, akan menjadi antara agenda perbincangan mereka.
“Beliau akan bertemu Presiden Putin dan sudah tentu turut membincangkan geopolitik global serta situasi semasa sektor tenaga,” ujar Sugiono.
Prabowo yang baru-baru ini mengadakan lawatan ke Korea Selatan dan Jepun, mempertahankan kekerapan perjalanan luar negaranya.
“Saudara dan saudari, untuk menjamin bekalan minyak (bagi Indonesia), saya perlu pergi ke mana sahaja,” katanya dalam ucapan kepada Kabinet minggu lalu.
Seperti banyak negara lain, Indonesia turut berdepan tekanan akibat kenaikan mendadak harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu merupakan pengeluar minyak, namun pada masa sama masih mengimport komoditi tersebut.
Pada bulan lalu, kerajaan pimpinan Prabowo mengumumkan langkah catuan bahan api serta pelaksanaan dasar bekerja dari rumah sehari seminggu bagi penjawat awam sebagai langkah penjimatan.
Beliau juga berjanji untuk tidak menaikkan harga bahan api dalam masa terdekat.