Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Prichard Colón Meninggal Dunia Pada Usia 33 Tahun Selepas 11 Tahun Alami Kecederaan Otak

Prichard Colón meninggal dunia
Kredit: ESPN

Bekas peninju Puerto Rico, Prichard Colón, meninggal dunia pada usia 33 tahun, 11 tahun selepas mengalami kecederaan otak traumatik dalam satu pertarungan yang mengubah hidupnya buat selama-lamanya.

Berita menyayat hati itu disahkan bapanya, Richard Colón, menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Colón mengalami kecederaan serius selepas bertarung dengan peninju Amerika Syarikat, Terrel Williams, dalam pertarungan pada 2015.

Dalam perlawanan tersebut, Colón beberapa kali dipukul di bahagian belakang kepala, selain menunjukkan tanda-tanda kesakitan dan tekanan apabila berulang kali cuba menyentuh bahagian belakang kepalanya.

Bagaimanapun, pertarungan itu diteruskan sehingga Colón akhirnya rebah dan dikejarkan ke hospital sebelum mengalami koma akibat kecederaan otak yang dialaminya.

Insiden berkenaan menjadi antara pertarungan paling kontroversi dalam sejarah tinju moden, khususnya susulan dakwaan bahawa Colón sepatutnya tidak dibenarkan meneruskan perlawanan ketika sudah menunjukkan tanda-tanda kecederaan.

Prichard Colón meninggal dunia

Dalam hantaran di Facebook, Richard Colón menyampaikan berita pemergian anaknya sambil memohon orang ramai terus mendoakan keluarganya.

“Selamat pagi, sahabat-sahabat. Dengan dukacita saya ingin memaklumkan pemergian anak saya, Prichard, dari dunia ini.

“Sekarang dia berada di tempat yang lebih baik. Saya telah melakukan segala yang termampu untuk memenuhi hasrat dan impiannya membawa dia bercuti ke Puerto Rico seperti yang diingininya, tetapi saya tidak berjaya melakukannya.

“Terima kasih atas kasih sayang dan doa yang diberikan selama bertahun-tahun. Jika boleh, teruskan mendoakan kami,” katanya.

Pemergian Colón selepas lebih sedekad hidup dengan kesan kecederaan otak itu mengundang kesedihan dalam kalangan komuniti tinju dunia.

Colón ketika itu merupakan peninju tidak terkalahkan dalam kategori super welterweight dan mempunyai rekod profesional 16 kemenangan sebelum pertarungan tersebut mengubah perjalanan hidupnya.

Intipati
  • Richard Colón mengesahkan Prichard Colón meninggal dunia pada usia 33 tahun menerusi Facebook.
  • Colón mengalami kecederaan otak traumatik selepas pertarungan menentang Terrel Williams pada 2015.
  • Insiden itu mencetuskan dakwaan bahawa Colón sepatutnya tidak dibenarkan meneruskan perlawanan ketika menunjukkan tanda kecederaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan