Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PRN: 108 Calon BN Faham Aspirasi Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Kesemua 108 calon Barisan Nasional (BN) yang dipertaruhkan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri adalah mereka yang memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada majlis pengumuman calon BN malam ini, beliau berkata barisan calon yang ditampilkan itu mampu memastikan kestabilan politik di negara ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin.
“Saya telah temui tiap seorang daripada mereka, saya telah berikan amanah kepada mereka bahawa mereka dipilih yang terbaik daripada kalangan yang terbaik.
“Ini kerana kita berazam untuk membentuk kerajaan negeri yang berupaya menjamin pertumbuhan dan mempunyai keserasian serta persamaan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya semasa berucap di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau berkata BN juga mahu membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kesejahteraan dan tidak membiarkan rakyat hidup dalam kesempitan dan kesusahan.
“Kita mahu bina kerajaan negeri yang berupaya memiliki nilai hormat sesama insan dan mengetepikan perbezaan kaum dan agama,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut meluahkan keyakinannya bahawa rakyat akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon yang dikemukakan oleh parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata keyakinannya itu adalah berlandaskan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Kami (BN) yakin di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri, maka kita yakin rakyat akan memberikan dukungan sepenuhnya kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan ini.
“Gelombang ini telah marak dan ia telah melata di seluruh enam negeri ini. Saya harap dengan semangat pendokong parti BN dan juga jentera, kita akan bergerak senada seirama untuk menentukan calon-calon kita akan dapat membentuk kerajaan di keenam-enam negeri ini,” katanya.
“Yang akan kita ketengahkan ialah apakah tawaran terbaik yang boleh dilakukan oleh BN dan Kerajaan Perpaduan… inilah kaedah kita,” katanya.
Pada PRN kali ini, Ahmad Zahid berkata 63 peratus calon BN adalah muka baharu, 18 peratus adalah penyandang dan selebihnya adalah mereka yang pernah bertanding sebelum ini, menunjukkan kesinambungan pelapis kepimpinan antara calon lama dan baharu, wanita dan pemuda parti itu.
BN mempertaruhkan 31 calon di Kelantan; 27 (Terengganu); 17 (Negeri Sembilan); 15 (Kedah); 12 (Selangor) dan enam di Pulau Pinang.
BACA: Bang Yongguk ‘Hentikan’ Konsert, Ingatkan Peminat “Maghrib Dah Masuk”
Sumber: Bernama