Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Program Cilik-Cilik Dah Celik 2026 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama strategi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), berjaya menarik penyertaan 100 keluarga muda dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata program yang diperkenalkan buat julung kali pada tahun lepas itu, mencatat pencapaian memberangsangkan berdasarkan pengukuran prestasi kewangan, sekali gus membuktikan keberkesanan modul serta intervensi yang dilaksanakan.
Beliau berkata menurut rekod, sebanyak 92.3 peratus daripada 100 keluarga yang menyertai program rintis di Lembah Klang telah menyimpan secara konsisten, dengan 50 peratus daripadanya berjaya mencapai simpanan melebihi RM1,000 dalam tempoh 100 hari.
“Alhamdulillah peserta program perintis Cilik-Cilik Dah Celik tahun lepas telah merekodkan prestasi yang amat cemerlang. Lebih 50 peratus peserta mencapai simpanan melebihi RM1,000 dalam tempoh 100 hari, manakala 80 peratus peserta menunjukkan peningkatan positif dalam aspek sikap, pengetahuan dan tingkah laku kewangan.
“Pencapaian ini memberi keyakinan kepada TH untuk memperluas program ke Pantai Timur, bagi melahirkan lebih ramai generasi celik kewangan. TH sentiasa komited membantu masyarakat membina asas kewangan yang kukuh sebagai persediaan menunaikan ibadah haji,” katanya pada Program Cilik-Cilik Dah Celik Wilayah Timur di sini, hari ini.
Mustakim berkata modul pembelajaran yang interaktif, membantu ibu-bapa dan anak-anak merancang kewangan secara lebih sistematik, menilai perbelanjaan secara kritis serta membuat keputusan kewangan secara lebih bijak serta berdisiplin.
Beliau berkata persediaan untuk menunaikan ibadah haji perlu bermula dengan amalan menabung serta pengurusan kewangan yang baik.
Mustakim berkata program Cilik-Cilik Dah Celik 2026, mengekalkan format sedia ada dengan enam modul literasi kewangan yang merangkumi transformasi minda, perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai, pembinaan kekayaan, perlindungan daripada penipuan kewangan serta pengurusan hutang.
“Peserta akan mengikuti bengkel pendidikan kewangan, simulasi kewangan, pembelajaran dalam talian, gamifikasi serta pemantauan simpanan anak-anak secara berterusan.
“Pada masa sama TH turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kewangan dengan mendidik peserta mengenal pasti taktik penipuan oleh penipu, melindungi data peribadi serta membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya menjadi mangsa cubaan penipuan,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta program Nur Nabilah Alias yang berusia 30-an, berkata program tersebut membantunya menyusun perancangan kewangan lebih teratur, selain meningkatkan kesejahteraan kewangan keluarga.
Beliau berkata program seumpama itu amat penting, dalam melahirkan generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi masa depan.
“Program seperti ini amat penting dalam melahirkan generasi celik kewangan yang lebih bersedia menghadapi masa depan. Semoga segala ilmu dan amalan yang dipelajari menjadi bekalan yang berpanjangan,” katanya.