Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Program Pemandu Sihat Dan Selamat Perkukuh Keselamatan Jalan Raya

selamat
Kredit: Bernama

Program Pemandu Sihat Dan Selamat Perkukuh Keselamatan Jalan Raya

Kerajaan terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan jalan raya menerusi pelaksanaan Program Pemandu Sihat dan Selamat yang memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan.

Inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2026 itu dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Sumber Manusia, Ramanan Ramakrishnan berkata, Program Pemandu Sihat dan Selamat merupakan hasil komitmen erat antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam memperkukuh agenda keselamatan jalan raya serta melindungi kesejahteraan pekerja, khususnya pemandu profesional yang menjadi nadi kepada sektor pengangkutan negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang berganding bahu menjayakan pelaksanaan program tersebut, termasuk Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PERKESO, Persatuan Perubatan Malaysia serta semua rakan strategik yang berkongsi aspirasi untuk menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat.

Menurut beliau, profesion pemandu kenderaan perdagangan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan negara, selain menjadi penghubung yang membawa penumpang ke destinasi dengan selamat.

"Ramai orang hanya nampak lori, bas atau van di atas jalan. Tetapi kami di kerajaan melihat manusia di sebalik stereng itu. Ada seorang ayah, ada seorang ibu, ada anak yang sedang mencari rezeki untuk keluarga..."

Beliau berkata, pemandu kenderaan berat merupakan penggerak ekonomi negara yang menjamin kelancaran logistik dari titik awal hingga ke destinasi terakhir. Justeru, mereka tergolong dalam kumpulan pekerja yang berhadapan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi.

Angka korban terus meningkat

Ramanan berkata, statistik PERKESO menunjukkan sebanyak 115 pekerja maut dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding 94 kes pada tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut melibatkan pelbagai kategori pekerja yang bergantung kepada jalan raya sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka, termasuk pemandu lori, bas, van, kereta dan motosikal.

Beliau memaklumkan bahawa pemandu lori merekodkan kadar kematian tertinggi dengan 62 kes atau 21 peratus daripada keseluruhan korban.

Menurutnya, di sebalik setiap angka tersebut terdapat pencari nafkah yang kehilangan nyawa, sekali gus menyebabkan keluarga kehilangan insan tersayang serta memberi kesan kepada komuniti sekeliling.

Faktor kesihatan turut menyumbang kepada kemalangan

Bukan itu sahaja, kemalangan jalan raya bukan hanya berpunca daripada faktor teknikal, keadaan jalan atau kegagalan mekanikal.

Sebaliknya, kajian menunjukkan faktor kesihatan seperti keletihan, gangguan tidur, tekanan darah tinggi, diabetes yang tidak terkawal serta masalah penglihatan turut menyumbang kepada penurunan tahap kewaspadaan seseorang pemandu ketika berada di jalan raya.

Pemeriksaan kesihatan sebagai langkah perlindungan

Menurut Ramanan, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani isu berkenaan menerusi pelaksanaan Program Pemandu Sihat dan Selamat.

Beliau berkata, program yang dilaksanakan melalui PERKESO dengan kerjasama MOT dan JPJ itu merupakan antara inisiatif di bawah Belanjawan MADANI 2026.

Katanya, inisiatif tersebut melengkapkan pelbagai program advokasi dan kesedaran keselamatan jalan raya yang sedang dilaksanakan secara berterusan bersama Polis Diraja Malaysia, majikan serta pemain industri bagi memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor pengangkutan.

"Program ini bukan sekadar menyediakan subsidi pemeriksaan kesihatan tetapi usaha Kerajaan MADANI supaya pemandu kenderaan perdagangan kekal sihat, cergas dan mampu menjalankan tugas dengan selamat."

Beliau menjelaskan bahawa pemandu yang ingin memperbaharui lesen vokasional akan menjalani pemeriksaan kesihatan secara komprehensif yang merangkumi pemeriksaan fizikal, penglihatan, pendengaran, saringan gangguan tidur seperti Obstructive Sleep Apnea (OSA), penilaian fungsi kardiovaskular, respiratori dan neurologi, selain ujian HbA1c bagi pemandu yang memerlukan.

Menurut beliau, pemeriksaan tersebut bukan bertujuan menyusahkan pemandu, sebaliknya bagi mengesan masalah kesihatan pada peringkat awal supaya rawatan dan intervensi dapat dilaksanakan dengan segera.

Kerajaan tanggung sebahagian kos pemeriksaan

Selain itu, Ramanan berkata, menerusi inisiatif itu kerajaan melaksanakan kaedah bayaran bersama atau co-payment, dengan pemandu hanya perlu membayar RM30 bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala baki RM55 ditanggung oleh Kerajaan MADANI melalui PERKESO.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan beban kewangan pemandu, malah memberi akses kepada pemeriksaan kesihatan berkualiti melalui klinik panel yang berdaftar di bawah program tersebut.

Pada masa sama, beliau menyeru semua majikan dalam industri pengangkutan menggalakkan pekerja memanfaatkan inisiatif berkenaan.

Beliau turut berharap lebih banyak klinik panel menyertai program tersebut bagi mencapai sasaran 3,000 klinik panel di seluruh negara supaya pemandu dapat menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih mudah tanpa mengira lokasi.

Langkah ke arah jalan raya lebih selamat

Mengulas lanjut, Ramanan berkata Program Pemandu Sihat dan Selamat merupakan langkah penting ke arah membudayakan penjagaan kesihatan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

"Apabila pemandu kita sihat, mereka lebih peka ketika memandu dan memastikan semuanya dalam keadaan selamat.

"Apabila perjalanan lebih selamat, keluarga akan lebih tenang.

"Apabila keselamatan jalan raya terus diperkukuh, negara akan memperoleh manfaat melalui tenaga kerja lebih produktif, ekonomi lebih mampan dan masyarakat yang lebih sejahtera," ujar beliau.