Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperkukuh agenda transformasi produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor pembuatan menerusi Projek Demonstrasi Digital Kaizen, hasil kerjasama strategik bersama Asian Productivity Organization (APO) dan Japan Productivity Center (JPC).
Dibiayai melalui geran khas Kementerian Luar Negeri Jepun (MOFA Japan) yang disalurkan melalui APO, projek ini melibatkan dua syarikat terpilih, iaitu UEDA Plating (M) Sdn. Bhd. dan Sunchirin Industries (M) Sdn. Bhd., bagi mengaplikasikan konsep Digital Kaizen yang menggabungkan amalan penambahbaikan berterusan dengan teknologi seperti IoT, pemantauan data masa nyata dan analitik prestasi operasi.

Keistimewaan utama projek ini ialah bimbingan secara langsung daripada pakar Jepun, iaitu En. Hiroaki Miyahara, pakar Kaizen, dan En. Satoshi Komatsu, pakar transformasi digital.
Syarikat dibimbing melalui penilaian proses, pemasangan peranti IoT, pembangunan dashboard prestasi, latihan sistem serta sesi semakan dan penambahbaikan berdasarkan data sebenar di lapangan. Pendekatan ini membolehkan syarikat mengenal pasti pembaziran, memantau downtime, meningkatkan kecekapan proses serta membuat keputusan operasi berasaskan data.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, berkata kerjasama Malaysia–Jepun ini membuktikan bahawa perkongsian kepakaran antarabangsa mampu mempercepat transformasi produktiviti PKS.

“Digital Kaizen bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi bagaimana data, manusia dan budaya penambahbaikan digabungkan untuk menghasilkan operasi yang lebih cekap dan berdaya saing. Bimbingan pakar Jepun secara langsung di gemba membolehkan syarikat memahami kaedah penyelesaian masalah secara praktikal dan membangunkan keupayaan untuk meneruskannya secara berterusan”, ujarnya.
Kerjasama ini sekali gus memperkukuh usaha Malaysia untuk membina PKS yang lebih produktif, tangkas dan berdaya saing, dengan menggabungkan kekuatan Kaizen Jepun bersama teknologi digital dan keupayaan industri tempatan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan