Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Projek RM2.1 Bilion Pelebaran Lebuhraya KL-Karak, Terowong Ketiga Genting Sempah Dilancar

LEBUHRAYA
Kredit: Facebook Alexander Nanta Linggi

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang kini menampung kira-kira 135,000 kenderaan sehari bakal melalui projek pelebaran sepanjang 45.3 kilometer, termasuk pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter dengan nilai pelaburan sekitar RM2.1 bilion.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah trafik di laluan berkenaan meningkat lebih tiga kali ganda berbanding kira-kira 41,000 kenderaan sehari pada 1997.

Kredit: Facebook Alexander Nanta Linggi

Menurutnya, peningkatan mendadak itu membuktikan kapasiti lebuh raya berkenaan perlu diperkukuh segera bagi memastikan ia tidak menjadi penghalang kepada mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

“Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak merupakan penghubung utama antara Lembah Klang dan Pantai Timur.

“Justeru, kita tidak boleh menunggu sehingga kapasiti sedia ada menjadi penghalang kepada mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pecah Tanah Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah dan Pelancaran Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Ujarnya, projek itu membabitkan pelaburan sekitar RM2.1 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi AFA Group dan disasarkan siap pada 2030.

Apabila siap kelak, jelasnya, kapasiti laluan dari Gombak ke Genting Sempah akan ditingkatkan daripada tiga kepada empat lorong.

Bagi jajaran dari Genting Sempah ke Bentong pula, jumlah lorong akan ditambah daripada dua kepada tiga.

Nanta berkata, matlamat utama projek berkenaan adalah untuk memastikan perjalanan rakyat menjadi lebih lancar, selamat dan selesa.

“Kita bukan sekadar membina jalan dan terowong, tetapi membina kemudahan yang akan digunakan oleh jutaan rakyat untuk tahun-tahun mendatang.

“Mesej saya kepada pihak pelaksana jelas, kita mahu AOT atau Ahead of Time, bukan EOT atau Extension of Time,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu perlu disiapkan lebih awal daripada jadual sekiranya mampu dilaksanakan, demi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat kemudahan berkenaan secepat mungkin.

Intipati
  • Projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sepanjang 45.3 kilometer bernilai sekitar RM2.1 bilion.
  • Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter akan dibina dalam projek berkenaan.
  • Kapasiti laluan akan ditambah, dengan projek disasarkan siap sepenuhnya pada 2030.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan