Propaganda Daesh: PDRM Pantau Media Sosial Kumpulan Ada Kaitan – KPN
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di negara ini yang dikaitkan dengan pengganas Daesh seperti dilaporkan oleh beberapa media tempatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.
Beliau berkata PDRM sejak awal telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.
“Antara langkah PDRM ialah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat.
BACA: Perspektif: Propaganda Antivaksin Perlu Ditangani Secara Berhati-Hati, Berterusan
“Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Acryl Sani turut memberi jaminan bahawa situasi semasa tahap keselamatan negara adalah terkawal dan menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan laporan media berhubung perkara itu.
Katanya PDRM komited dalam memastikan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
MCMC terus pantau sebaran maklumat palsu di Media Sosial
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau penyebaran maklumat palsu di laman media sosial berikutan perkembangan semasa di dalam negara.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R – race, regilion, royalty) di sebalik keghairahan berkongsi maklumat.
“Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” jelasnya.
MCMC juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi hak dan kepentingan masyarakat.
Sumber: BERNAMA