Utama

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Politik

Politik

Berita

Berita

Pempengaruh Media Sosial Perlu Isytihar Semua Pendapatan
Pempengaruh media sosial atau digital diwajibkan mengisytiharkan semua bentuk pendapatan yang diterima kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini termasuk barangan percuma, hadiah serta manfaat lain yang diperoleh bagi tujuan penilaian atau promosi produk.
Kewajipan itu merupakan antara ketetapan yang terkandung dalam garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh LHDN berkaitan layanan cukai terhadap pendapatan pempengaruh media sosial atau digital.
Garis panduan tersebut bertujuan memastikan pematuhan undang-undang cukai dilaksanakan secara lebih jelas dan tersusun.
Menurut LHDN, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) untuk menerbitkan, meminda atau membatalkan garis panduan berkenaan pada bila-bila masa sekiranya perlu.
LHDN menjelaskan bahawa pempengaruh media sosial atau digital merujuk kepada individu yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang lain melalui media sosial atau platform digital. Ini sama ada berdasarkan kuasa, pengetahuan, kedudukan atau hubungan dengan pengguna.
“Pempengaruh media sosial bukan saja individu yang boleh mempengaruhi orang lain dan mempunyai ramai pengikut, mereka juga mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui aktiviti sebagai pempengaruh di media sosial dan digital.
“Pempengaruh media sosial wajar diiktiraf sebagai satu kerjaya kerana ia mampu menjana pendapatan yang terbit dan diterima daripada platform media sosial atau daripada aktiviti pemasaran hasil daripada pengaruh mereka di media sosial.
“Aktiviti seorang pempengaruh termasuk menghasilkan kandungan audio, video atau penulisan, muncul dalam program atau acara media sosial, terbabit dalam promosi produk dan menerima bayaran, hadiah atau sebarang manfaat daripada mana-mana pihak disebabkan keterlibatan di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, pempengaruh media sosial dikategorikan kepada dua kategori utama, iaitu pempengaruh individu dan pempengaruh berasaskan objek.
Pempengaruh individu meliputi ahli politik, artis, atlet, golongan profesional, pelajar dan suri rumah. Manakala, pempengaruh berasaskan objek pula merangkumi watak animasi, watak lakonan atau watak rekaan yang didaftarkan di platform media sosial serta mempunyai pengikut.
Mengulas lanjut mengenai pendapatan pempengaruh, LHDN memaklumkan bahawa ia merangkumi bayaran langsung daripada platform media sosial serta bayaran yang diterima sebagai duta produk.
Selain itu, pendapatan pempengaruh turut melibatkan hasil jualan barangan, jualan akaun atau ID pempengaruh, royalti watak media sosial serta pelbagai bentuk penerimaan hasil lain.
Bayaran tersebut boleh diterima dalam pelbagai bentuk seperti fi pengurusan, yuran bakat, yuran penyertaan dan bayaran khidmat perundingan.
“Bayaran ini boleh diterima dalam bentuk bayaran tunai, pemberian barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji) dan hadiah (gift) atau penghargaan di media sosial yang mempunyai nilai wang.
“Daripada perbelanjaan yang dibenarkan pula, pempengaruh media sosial boleh menuntut perbelanjaan yang dibenarkan di bawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan (ACP) termasuk kos internet, penggambaran dan penyuntingan bahan, manakala perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal tidak dibenarkan,” katanya.
Selain itu, LHDN menegaskan bahawa pempengaruh media sosial diwajibkan menyimpan rekod penerimaan pendapatan serta dokumen sokongan berkaitan semua pendapatan dan perbelanjaan bagi tujuan pengauditan.
Semua rekod dan dokumen sokongan tersebut perlu disimpan selama tujuh tahun, bermula dari akhir tahun borang nyata cukai pendapatan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.
BACA: Agong Zahir Rasa Kecewa Dengan Kes Rasuah Peringkat Tertinggi Dalam ATM
Sumber: Media Selangor