Tak Risau Anak 'Jelajah' Internet, Platform Sosial Media Makin Selamat Dengan ONSA
Seiring dengan pelbagai kemudahan teknologi dalam talian, pelbagai manfaat dapat dibawakan kepada ramai pengguna, namun ia juga datang dengan pelbagai kesan buruk. Antaranya adalah kerugian yang dialami akibat penipuan dalam talian yang telah mencecah berbilion dan ada juga kebimbnagan terhadap keselamatan kanak-kanak.
Berpaksikan perkara sedemikian, Malaysia kini telah memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang telahpun berkuat kuasa 1 Januari 2026. Tapi, apa je perubahan dengan akta ini dan bagaimana ia berfungsi?
Undang-undang melalui akta ini bertujuan memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap kandungan berbahaya, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. Tapi janganlah risau, ONSA tidak sedikit pun menjejaskan hak pengguna untuk bersuara secara sah, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada tadbir urus platform dan pengurusan risiko.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerugian penipuan dalam talian mencecah RM2.7 bilion pada 2025 dan masih banyak kes buli siber, gangguan, serta kandungan penderaan kanak-kanak yang wujud dalam talian.
Skop Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA)
Untuk pengetahuan, ONSA bersifat menyeluruh yang mana melibatkan semua platform tempatan dan antarabangsa yang beroperasi atau menyasarkan pengguna Malaysia. Antara kandungan yang dicakupi adalah seperti berikut:-
CSAM (bahan penderaan seksual kanak-kanak)
Penipuan dalam talian & jenayah kewangan
Kandungan lucah / pornografi
Gangguan & komunikasi menyakitkan
Kandungan berkaitan keganasan atau pengganas
Kandungan yang menggalakkan pencederaan diri kanak-kanak
Kandungan yang mempromosikan permusuhan/ gangguan ketenteraman awam
Kandungan berkaitan dadah berbahaya

Tanggungjawab Yang Platform Perlu Galas Dan Pikul
Membawa pendekatan ONSA, platform pada kali ini akan memberi penekanan terhadap pengurusan risiko, dan bukan lagi menilai pos satu demi satu. Mereka perlu mengenal pasti & menguruskan kandungan berbahaya, di samping perlu mengurangkan pendedahan pengguna kepada "bahaya utama".
Platform juga perlu menyekat akses kepada kandungan tertentu dan menyediakan mekanisme laporan dan sokongan pengguna supaya tiada 'kebocoran' kandungan yang tidak sepatutnya. Sebaiknya, platform juga boleh mengemukakan pelan keselamatan dalam talian supaya SOP tersebut sentiasa dapat dipatuhi.
Perlindungan Khusus Untuk Kanak-kanak
Melalui ONSA, terdapat sekatan mengikut umur kanak-kanak dan pelarasan tetapan lalai bagi memastikan ada perlindungan khusus untuk kanak-kanak. Golongan kanak-kanak juga ada dihadkan interaksi dengan kandungan yang tertentu supaya tidak terdedah kepada kandungan tidak sepatutnya.
ONSA tidak merangkumi pesanan peribadi satu ke satu, pemantauan umum terhadap pengguna, atau mewujudkan kesalahan baharu bagi ucapan sah atau ekspresi politik. Sebagai langkah perlindungan, platform diberikan beberapa mekanisme safeguard termasuk keperluan notis sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan, peluang untuk membuat representasi, rekod awam mengenai arahan pengawalseliaan, serta akses kepada proses rayuan dan semakan kehakiman.
Dalam ONSA, terdapat beberapa langkah perlindungan untuk platform, seperti keperluan memberi notis sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan, peluang untuk menyuarakan pandangan mereka, rekod awam tentang arahan pengawalseliaan, serta akses kepada proses rayuan dan semakan kehakiman.
Akta ini memperkenalkan struktur pengawalseliaan yang lebih formal untuk keselamatan dalam talian, tetapi ia tidak menggantikan usaha penguatkuasaan, pendidikan, atau pencegahan yang sedia ada.
Perkara seperti literasi digital, penglibatan ibu bapa, dan cara kita berinteraksi dalam talian masih di luar skop akta ini. Kesannya nanti pula banyak bergantung kepada bagaimana platform menyesuaikan sistem mereka dan bagaimana pihak pengawal selia memantau pelaksanaannya dari masa ke masa.