Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hujan Salju Turun Di Tapak Lombong Indonesia, Rakaman Tular Di Media Sosial

Hannah
hujan salju indonesia
Gambar: Video tular

Hujan Salju Turun Di Tapak Lombong Indonesia, Rakaman Tular Di Media Sosial

Fenomena alam yang jarang berlaku kembali direkodkan di wilayah Distrik Tembagapura, Kabupaten Mimika, Papua Tengah. Hujan salju dilaporkan turun di kawasan Grasberg, tapak perlombongan PT Freeport Indonesia (PTFI).

Menurut maklumat yang diperoleh, suhu udara di kawasan dataran tinggi tersebut dilaporkan mencecah minus 3 darjah Celsius pada waktu pagi. Ia sekali gus menyebabkan pembentukan kristal ais yang turun menyerupai salju.

Lapor media tempatan, fenomena ini berlaku sejak awal pagi Isnin (26 Januari) dan mencair menjelang tengah hari apabila suhu meningkat.

Kejadian luar biasa itu turut tular di media sosial selepas beberapa rakaman video dimuat naik oleh individu yang dipercayai pekerja lombong di kawasan berkenaan.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan butiran putih turun di sekitar tapak lombong. Ia disaksikan oleh para pekerja yang teruja merakam dan bermain dengan salju serta berswafoto.

Penjelasan BMKG berhubung hujan salju Indonesia

Prakirawan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wilayah Timika, Marsareza, menjelaskan bahawa hujan salju berlaku apabila kawasan Tembagapura diselaputi awan tebal pada waktu pagi.

Menurutnya, suhu di bahagian atas awan boleh mencecah minus 28 darjah Celsius, menyebabkan titisan air membeku dan turun sebagai kristal ais atau salju, bukan hujan biasa.

"Kawasan Grasberg berada pada ketinggian sekitar 2,500 hingga 2,800 meter dari aras laut, menyebabkan suhunya jauh lebih rendah berbanding kawasan lain di Mimika. Apabila hujan turun pada waktu pagi, butiran yang jatuh masih berbentuk kristal ais," katanya.

Fenomena jarang berlaku di negara tropika

BMKG turut memaklumkan bahawa hujan salju di kawasan tersebut bukan kali pertama berlaku.

Sejak tahun 2023, fenomena serupa telah direkodkan sekurang-kurangnya dua kali, biasanya pada awal pagi antara pukul 5.00 hingga 6.00 pagi waktu tempatan.

Bagaimanapun, hujan salju itu bersifat setempat dan sementara, serta tidak menjejaskan operasi perlombongan PTFI kerana ia cepat mencair apabila suhu meningkat.

Fenomena ini menarik perhatian ramai kerana jarang berlaku di negara tropika seperti Indonesia. Ia juga dipercayai berkait dengan cuaca ekstrem di kawasan pergunungan Papua serta kemungkinan pengaruh perubahan iklim global.