Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 pada hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN bertempat di MyTown Shopping Centre Kuala Lumpur. Turut hadir, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Pengurusan Kanan PTPTN.
2. Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia. Tahun 2024 merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018. Program bermula di peringkat nasional pada 26 hingga 29 September 2024 dengan majlis pelancaran pada 28 September 2024 yang turut diadakan serentak di seluruh negara.
3. BMS pada kali ini bertemakan Fantasi bersempena Hari Impian Sedunia yang disambut pada 25 September setiap tahun dan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda. Tema ini mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka. Tema ini juga sangat signifikan dengan moto PTPTN “Peluang Kejayaan Anda” iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan membuat persediaan kewangan yang baik.

4. Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Action Song Simpan SSPN, PTPTN e-Sport Challenge (Mobile Legends : Bang Bang), Simpan SSPN Got Talent, Jenga Family Competion Simpan SSPN, Baby Merangkak Race, Kuiz Kahoot! Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends dan P&T, selebriti jemputan dan banyak lagi. Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
5. BMS 2024 merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.
6. YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN berkata, “Tahun ini, genaplah dua (2) dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat. PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini. Pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan. Sehingga 31 Ogos 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM18.85 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta. Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik di negara ini.”
7. “Berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam (6) tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa. Pada BMS kali ini, PTPTN mensasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta. Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan,” tambah beliau lagi.

8. Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan. Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
9. Ketika Majlis Pelancaran BMS 2024, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 (Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih), penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Action Song Simpan SSPN dan tayangan lagu korporat PTPTN yang telah diberi nafas baru, seiring dengan perkembangan industri muzik. Penjenamaan ini adalah selari dengan usaha PTPTN untuk meningkatkan imej positif dan kekal relevan di mata masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.
10. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2024, layari www.ptptn.gov.my/BMS2024.