Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PTPTN Tambah Rakan Takaful Baharu, Simpan SSPN Plus Kini Tawar Perlindungan Sehingga RM1.2 Juta

PTPTN
Kredit: Bernama

PTPTN Tambah Rakan Takaful Baharu, Simpan SSPN Plus Kini Tawar Perlindungan Sehingga RM1.2 Juta

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh produk Simpan SSPN Plus apabila memperkenalkan Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) sebagai Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Langkah itu dilihat mampu memberikan lebih banyak pilihan perlindungan takaful kepada pendeposit, sekali gus meningkatkan nilai tambah Simpan SSPN Plus sebagai instrumen simpanan pendidikan yang komprehensif.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pelantikan ZTMB merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PTPTN dalam memperluaskan akses kepada produk simpanan pendidikan yang dilengkapi perlindungan takaful berkualiti.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, penambahan rakan strategik baharu itu turut memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk mendapatkan perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

“Kerjasama Zurich Takaful Malaysia Berhad sebagai Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang baharu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PTPTN untuk memperluaskan akses kepada produk simpanan pendidikan yang dilengkapi perlindungan takaful yang berkualiti.

“Penambahan ini memberi lebih banyak pilihan kepada para pelanggan dalam mendapatkan perlindungan takaful yang bersesuaian dengan keperluan mereka, di samping mengekalkan manfaat Simpan SSPN Plus yang komprehensif,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini Simpan SSPN Plus telah bekerjasama dengan tiga Syarikat Pengendali Takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB).

Katanya, penyertaan Zurich Takaful Malaysia Berhad akan terus memperkukuh ekosistem Simpan SSPN Plus melalui kerjasama dengan syarikat pengendali takaful yang berwibawa.

Dalam pada itu, Norliza berkata Simpan SSPN Plus bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga merancang kewangan pendidikan tinggi anak-anak, malah menyediakan perlindungan kewangan kepada keluarga sekiranya berlaku musibah.

“Dengan penyertaan Zurich Takaful Malaysia Berhad, kami yakin pelanggan akan memperoleh pengalaman yang lebih baik melalui pilihan perlindungan yang lebih pelbagai dan berkualiti,” ujarnya.

Menurut PTPTN, Simpan SSPN Plus menawarkan enam pilihan pakej dengan komitmen simpanan bulanan bermula serendah RM30 bagi Pakej Intan sehingga RM500 bagi Pakej Berlian.

Menerusi kerjasama dengan ZTMB, pendeposit kini boleh menikmati perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, selain manfaat penyakit kritikal, khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan sehingga tiga orang anak, elaun kemasukan ke hospital serta perlindungan sehingga pendeposit mencapai usia 65 tahun.

Selain perlindungan takaful, Simpan SSPN Plus turut menawarkan pelbagai kelebihan termasuk pelepasan cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah.

Menurut PTPTN, proses pembukaan akaun juga lebih mudah kerana tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan bagi semua pakej kecuali Pakej Berlian, yang hanya memerlukan pelanggan menjawab tiga soalan kesihatan tanpa perlu menjalani pemeriksaan perubatan.

PTPTN berkata kerjasama strategik itu diyakini dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN Plus sebagai antara pilihan utama simpanan pendidikan di Malaysia yang menggabungkan elemen simpanan dan perlindungan kewangan secara menyeluruh.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN Plus boleh diperoleh menerusi portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.

Intipati
  • Zurich Takaful Malaysia Berhad menjadi rakan takaful baharu Simpan SSPN Plus mulai 1 Julai.
  • Simpan SSPN Plus kini menawarkan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta kepada pendeposit.
  • Produk itu menyediakan enam pakej simpanan bulanan, bermula RM30 hingga RM500.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan