Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan pelantikan PU Riz atau nama sebenarnya, Muhd Haris Mohd Ismail sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama parti tersebut.
Perkara berkenaan dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook PKR.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, pelantikan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di Putrajaya hari ini.
“MPP telah memutuskan pelantikan saudara Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai ahli ex officio MPP, serta saudara Muhd Haris Mohd Ismail (PU Haris) sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama,” katanya.
Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan bahawa PKR telah menerima sebanyak 14,225 anggota baharu antara Oktober 2025 hingga Januari 2026.
“Antara anggota baharu termasuk saudara Dr Sani Araby Salim Araby (Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara, SNCC) dan saudara Hidayat Abdullah (Pengurus Strategik MAPIM),” tambah beliau.
Katanya, mesyuarat berkenaan turut membincangkan isu pendakwaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Susulan itu, Fahmi digantung daripada semua jawatan parti berkuat kuasa serta-merta sehingga kes di mahkamah diputuskan.
“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung Keadilan akan mengutuskan surat kepada YAB Ketua Menteri dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.
Tambah Fuziah, mesyuarat itu turut membincangkan isu surat tunjuk sebab Setiausaha Agung kepada Rafizi Ramli serta jawapan yang diterima.
“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” jelas beliau.
Dalam kenyataan yang sama, pihak MPP turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa usul mengecam serangan kejam Isreal dan sekutu ke atas Iran ke Dewan Rakyat pada Isnin.