Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pulau Pinang Tersenarai Antara Destinasi Pelancongan Terbaik 2026 – CNN Travel
Pulau Pinang sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila tersenarai dalam 20 destinasi pelancongan terbaik untuk dilawati pada tahun 2026, lapor CNN Travel.
Menerusi laporan berkenaan, Pulau Pinang digambarkan sebagai destinasi yang menawarkan ‘cita rasa sejarah’ dengan mengetengahkan pemeliharaan dan keunikan budaya Peranakan.
Keistimewaan Pulau Pinang turut terserlah melalui landskap gastronomi yang kaya dan pelbagai. Beberapa restoran di negeri ini turut tersenarai dalam Michelin Guide, sekali gus mengangkat reputasi Pulau Mutiara itu sebagai syurga makanan di rantau ini.
Bahkan, pengalaman kulinari di sana tidak terhad kepada restoran bertaraf antarabangsa.
Menurut laman berkenaan, pengunjung tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati hidangan lazat di Pulau Pinang. Gerai jalanan, pasar malam dan kopitiam terus menjadi nadi budaya makan tempatan.
“Sama ada bertaraf Michelin atau tidak, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati hidangan lazat di Pulau Pinang dengan gerai jalanan, pasar malam, kopitiam (nasi kandar) menyajikan kari penuh aroma, semangkuk laksa panas, kek pandan dan kelapa yang tidak terlalu manis serta pelbagai juadah lain yang menyelerakan,” kongsi laman tersebut.
Selain makanan, George Town turut menjadi tarikan gaya hidup yang tidak boleh dilepaskan. Bandar warisan dunia ini terkenal dengan mural jalanannya yang ikonik, menjadikan lorong dan dinding sebagai latar bergambar yang unik.
Antara mural yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk karta yang memberi penghormatan kepada tokoh fesyen kelahiran Pulau Pinang, Jimmy Choo.
Laman tersebut turut menyenaraikan Algeria yang menawarkan visa 30 hari dan Arusha di Tanzania bagi mereka yang inginkan pengembaraan bersama alam. Chilean fjord yang menawarkan pengalaman di lautan dan glasier juga tersenarai.
Bagi mereka yang menginginkan pengalaman jauh dari kesibukan bandar, Lembah Orkhon di Mongolia merupakan destinasi terbaik sebagai pilihan.
Negara termuda Asia, Timor-Leste turut tersenarai sebagai destinasi pelancongan terbaik 2026 yang disenaraikan CNN Travel kerana keindahan aktiviti menyelam dan snorkeling.
Sumber: CNN Travel