Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Puluhan Ribu ‘Mogok’, Ini Apa Yang Jadi Di Belgium Sekarang
Belgium kini sedang berdepan dengan mogok besar-besaran yang menyebabkan pelbagai perkhidmatan penting tergendala.
Mogok yang berlangsung pada Isnin melibatkan pekerja dari pelbagai sektor seperti pengangkutan awam, penerbangan, perkhidmatan pos, sekolah dan juga kakitangan keselamatan.
Aksi mogok ini mencetuskan kekacauan besar, dengan kesesakan lalu lintas yang luar biasa, pembatalan perkhidmatan dan protes besar-besaran di ibu negara, Brussels.
Kesatuan sekerja dari pelbagai sektor telah menyertai mogok kebangsaan bagi membantah kemungkinan reformasi yang akan dilaksanakan oleh kerajaan akan datang.
Hal ini dipercayai merangkumi pembekuan gaji, reformasi pengindeksan, waktu kerja yang lebih panjang, kontrak kerja yang lebih tidak menentu, langkah penjimatan, pemotongan perkhidmatan awam dan prospek pencen yang lebih rendah.
Akibatnya, lebih 30,000 penunjuk perasaan berkumpul di Brussels bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap dasar kerajaan yang dianggap ‘menekan’ golongan pekerja ini.
Menurut media tempatan, kesan mogok ini begitu ‘luar biasa’ apabila pelbagai perkhidmatan penting seluruh negara terjejas.
Pada pagi Isnin, lebuh raya di Flemish menghadapi kesesakan yang ketara, seperti yang disahkan oleh Pusat Trafik Flemish.
Pada jam 7.00 pagi, pusat tersebut mencatatkan 80 kilometer kesesakan trafik, dan menjelang jam 8.15 pagi, angka ini meningkat kepada 265 kilometer.
Brussels juga mengalami waktu puncak yang sangat sibuk, terutamanya di Jalan Lingkaran Kecil (Small Ring Road), dengan kesesakan trafik yang panjang.
Walaupun tiada kemalangan dilaporkan, beberapa terowong terpaksa ditutup sementara kerana kesesakan trafik yang terlampau.
1. Sekitar 40 peratus penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Brussels
Banyak kakitangan sedang mogok di Lapangan Terbang Brussels di Zaventem, lapangan terbang terbesar di Belgium.
“Sejumlah besar penerbangan telah dibatalkan atau dijadualkan semula.
“Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan oleh syarikat penerbangan atau agensi perjalanan mereka (atas talian),” menurut kenyataan di laman web lapangan terbang terbabit.
2. Beberapa perkhidmatan kereta api dibatalkan
Kereta api terjejas teruk, dengan hanya satu daripada tiga kereta api antara bandar (IC) dan satu daripada lima kereta api tempatan (S dan L) yang beroperasi.
3. Hanya satu laluan Metro beroperasi
Pengendali pengangkutan awam Brussels, STIB, mengesahkan pada jam 7.00 pagi bahawa rangkaiannya mengalami gangguan teruk akibat mogok. Hanya satu laluan metro yang beroperasi.
Akibatnya, aplikasi mobiliti STIB, Floya, mencadangkan laluan alternatif berdasarkan laluan yang beroperasi.
Ia juga menawarkan peluang untuk mencari laluan alternatif menggunakan basikal, skuter, teksi dan kereta kongsi.
Lebih 25,000 guru di Flemish menyertai mogok ini, merangkumi 90 peratus daripada jumlah peserta mogok.
Akibatnya, kelas dibatalkan di sekitar 40 peratus sekolah rendah dan menengah perbandaran serta bandar di Flanders, menurut tinjauan ke atas 118 sekolah oleh Persatuan Pendidikan Bandar dan Perbandaran (OVSG).
Di lebih 30 peratus sekolah, kelas tidak diteruskan dan terpaksa ditutup atau melaksanakan pembelajaran jarak jauh.
Bukan itu sahaja, pelajar universiti yang sedang menduduki peperiksaan juga turut terkesan akibat gangguan pengangkutan awam.
Ketegangan berlaku apabila kumpulan kecil anggota bomba ‘bertembung’ dengan pihak polis.
Gas pemedih mata terpaksa digunakan untuk mengawal keadaan, dan beberapa pegawai polis dilaporkan mengalami kecederaan.
Golongan majikan mengecam tindakan mogok ini sebagai “pramatang dan tidak bertanggungjawab” kerana menjejaskan ekonomi negara.
Sementara itu, Presiden kesatuan sekerja sosial ABVV-FGTB, Thierry Bodson, memberi ‘amaran’ bahawa mogok umum mungkin akan berterusan jika kerajaan tidak mengubah dasar yang dianggap tidak adil.
Kesatuan sekerja juga merancang untuk mengadakan protes besar-besaran lain pada Februari nanti, dengan fokus kepada perkhidmatan awam.
Sementara itu, keadaan di Belgium dijangka terus bergolak dengan ketegangan antara pekerja, majikan dan kerajaan.
Pengaruh mogok ini bukan sahaja memberi impak kepada sektor ekonomi, tetapi juga kehidupan harian rakyat.
BACA: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Kebakaran Dahsyat Di LA
BACA: Khabib Perjelas Isu Dihalau Keluar Dari Pesawat
BACA: Ini Sebab Kenapa Air Laut Tidak Digunakan Untuk Padam Kebakaran
Sumber: The Brussels Times