Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seramai 75,977 peminat dan penonton perlumbaan hadir menyambut kepulangan semula perlumbaan SUPER GT pada pusingan Malaysia siri AUTOBACS SUPER GT 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 27 hingga 28 Jun 2025.
Kehadiran ini hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dijangkakan oleh HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan penganjur rasmi pusingan Malaysia SUPER GT. Kepulangan perlumbaan GT utama dari Jepun selepas 12 tahun tidak hadir telah disambut dengan penuh meriah oleh peminat tempatan dan antarabangsa.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat Malaysia dan antarabangsa atas sokongan padu mereka terhadap perlumbaan ini. Kami kini sedang meneliti pelbagai cara untuk menambah baik pengalaman peminat pada tahun 2026,” kata Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan. Pusingan Malaysia SUPER GT dijadualkan untuk kembali sehingga tahun 2027, dengan perbincangan sedang dijalankan bersama GT Association (GTA) selaku penganjur untuk menjadikan Malaysia sebagai perlumbaan luar negara tetap dalam siri ini.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua rakan kerjasama, termasuk GTA, penaja serta agensi kerajaan yang terlibat atas sokongan mereka dalam menjayakan perlumbaan ini. Sekiranya bukan kerana pandemik global COVID-19, pusingan Malaysia mungkin telah berlangsung seawal tahun 2020. Walaupun tertunda selama lima tahun, semua pihak kekal komited terhadap usaha ini dan kami amat bersyukur atas perkara tersebut. Terima kasih.”

Berbeza daripada hanya menumpukan kepada perlumbaan, Festival SUPER GT Malaysia dianjurkan sebagai satu karnival untuk peminat perlumbaan, peminat automotif dan keluarga mereka dengan penganjuran festival kebudayaan dan makanan bertemakan Jepun; konsert GT Live selepas perlumbaan; pameran automotif; autoshow; serta jualan barangan cenderamata. Pusingan Malaysia SUPER GT turut menampilkan penganjuran sulung siri GR86 Cup Malaysia dan pusingan kedua Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Challenge.
Dalam satu pengalaman sekali seumur hidup, HARO Sports & Entertainment, dengan kerjasama Mastercard selaku Rakan Pembayaran dan Pengalaman Rasmi, telah menghadiahkan sebuah GR Supra manual 3.0 bernilai RM650,000 kepada seorang pemenang bertuah, Cik Au Tzi Hua.

Pemegang tiket layak untuk menyertai cabutan bertuah ini jika mereka membeli tiket menggunakan Mastercard dari 1 Jun hingga 28 Jun. Tiket-tiket yang layak termasuk: Main Grandstand (RM250); GT Suite (RM350); GT Live! Rock Zone (RM500); GT Club Paddock (RM2,000); dan Pakej Experience, Ultimate dan Dream (bermula dari RM5,000). Pembeli tiket K1 Grandstand tidak layak untuk penyertaan cabutan ini.
HARO Sports & Entertainment turut mengumumkan kejutan lebih besar untuk tahun 2026, apabila mendedahkan bahawa mereka telah mendapat kebenaran daripada GTA untuk satu penyertaan wildcard kelas GT500.

Perlumbaan hujung minggu lalu turut menyaksikan penyertaan dua pelumba Malaysia sebagai wildcard dalam kelas GT300, iaitu Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, masing-masing mewakili pasukan EBM-GIGA Racing Team.
“GT500 ialah kemuncak perlumbaan SUPER GT dan ini merupakan satu penghormatan besar untuk diberi kepercayaan menerima penyertaan wildcard,” kata Fahrizal, sambil menambah bahawa perbincangan masih dijalankan bagi mengenalpasti pengeluar kenderaan dan barisan pelumba yang akan mewakili Malaysia.

Festival Super GT Malaysia 2025 diadakan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2025, serta disokong oleh Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai SUPER GT Malaysia, sila layari: www.supergtmalaysia.com.