Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Qatar Isytihar Atase Tentera, Keselamatan Iran Sebagai ‘Persona Non Grata’
ISTANBUL -- Qatar pada Rabu telah mengisytiharkan atase tentera dan keselamatan di Kedutaan Iran di Doha sebagai “persona non grata” dan mengarahkan mereka meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam, lapor Anadolu Agency.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar berkata keputusan itu diambil berikutan tindakan sasar yang berulang serta pencerobohan kejam pihak Iran terhadap kedaulatan dan keselamatan Qatar.
Perkara itu dianggap sebagai pencabulan nyata terhadap prinsip undang-undang antarabangsa, Resolusi Majlis Keselamatan No. 2817 dan peraturan kejiranan yang baik.
Tambah kementerian itu, Qatar memberi amaran bahawa sekiranya Iran meneruskan pendekatan bermusuhan ini, negara itu akan mengambil langkah lanjut bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan nasionalnya.
“Qatar berhak untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan dan keselamatannya, selaras dengan undang-undang antarabangsa,” tegas kementerian itu lagi.
Keputusan tersebut, yang turut melibatkan kakitangan yang bekerja di pejabat kedua-dua atase berkenaan, dibuat susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas tapak pengeluaran gas Ras Laffan di Qatar.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei.
Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan.