Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rafizi Tegaskan Prinsip Perakaunan Perlu Jadi Asas Nilai Aset TH

RAFIZI
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan penggunaan Nilai Aset Boleh Realisasi (RAV) dalam menilai aset Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan kerugian sebenar yang ditanggung institusi berkenaan.

Menurutnya, perdebatan mengenai kaedah audit antara Jabatan Audit Negara (JAN) yang menggunakan RAV dan PricewaterhouseCoopers (PwC) yang menggunakan pendekatan marked to market perlu dilihat berdasarkan prinsip asas perakaunan.

Rafizi berkata, terdapat beberapa prinsip kewangan yang kekal menjadi asas dalam pelaporan kewangan walaupun piawaian perakaunan berubah dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Antara rukun penting ialah substance over form, iaitu sesuatu transaksi perlu dilaporkan berdasarkan hakikat sebenar dan bukan semata-mata berdasarkan klasifikasi yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial.

Beliau yang juga akauntan bertauliah daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) berkata, prinsip prudence turut menjadi antara asas penting dalam menentukan kedudukan kewangan sesebuah entiti.

Jelasnya, prinsip itu menuntut pelaporan kewangan menggambarkan nilai paling realistik yang boleh diperoleh sekiranya sesuatu aset dicairkan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan sesebuah entiti meletakkan nilai aset terlalu tinggi sedangkan nilai sebenar yang boleh direalisasikan di pasaran mungkin lebih rendah.

“Dalam kes TH, bila ada yang cuba berhujah mengenai RAV lawan marked to market, sangat jelas bahawa RAV ini bertentangan dengan rukun prudence dan rukun substance over form,” ujarnya.

Dakwa RAV boleh gambarkan kedudukan kewangan berbeza

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penggunaan kaedah RAV boleh menyebabkan perbezaan ketara dalam pengiktirafan kedudukan kewangan TH.

Menurutnya, keadaan itu termasuk situasi apabila keuntungan atas kertas dilaporkan melebihi RM3 bilion, berbanding dakwaan kerugian sekitar RM1 bilion.

Bagaimanapun, beliau mendakwa persoalan lebih besar timbul sekiranya pembayaran hibah kepada pendeposit terpaksa bergantung kepada wang daripada pendeposit baharu kerana keuntungan sebenar tidak mencukupi.

“Maknanya substance dah bertukar hibah itu bukan daripada keuntungan, ia daripada pendeposit sebab rolling,” katanya.

Rafizi turut mendakwa penggunaan RAV berpotensi menyebabkan nilai aset TH kelihatan lebih tinggi daripada nilai yang sebenarnya boleh diperoleh melalui pasaran.

Beliau berkata, perkara itu juga perlu dilihat berdasarkan perkembangan aset TH yang sebelum ini dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dalam usaha pemulihan.

“Bukti dah ada, dah lapan tahun aset TH dipindahkan kepada UJSB untuk dipulihkan, tak dapat pulih sampai hutang UJSB kepada TH kena rolling 10 tahun lagi,” jelasnya.

Jangan campur adukkan politik dan prinsip profesional

Dalam pada itu, Rafizi berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya mengatasi prinsip profesional ketika menilai kedudukan kewangan TH.

“Kita mungkin ada pandangan politik masing-masing, tetapi bagi mereka yang dilatih sebagai profesional kewangan dan yang bersumpah akan menjadi seorang akauntan bertauliah yang jujur, benda TH ini sudah cukup jelas,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru supaya perhatian diberikan kepada usaha menyelesaikan persoalan hutang rakyat yang didakwanya timbul susulan proses menyelamatkan institusi berkenaan.

“Lebih baik tumpu macam mana nak selesaikan masalah hutang rakyat akibat kena bail out TH,” ujarnya.