Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meninjau sendiri operasi menangani kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Tengah ketika situasi kebakaran di beberapa kawasan wilayah itu masih berterusan.
Prabowo tiba di Palangkaraya pada Sabtu lalu sebelum mengadakan pertemuan bersama pihak berkaitan di Pos Hadapan Penanganan Kebakaran Hutan dan Tanah Kalimantan Tengah di kawasan Lapangan Terbang Tjilik Riwut.
Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan Indonesia untuk memperhebatkan usaha pemadaman kebakaran hutan dan tanah yang masih berlaku di beberapa wilayah.
Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, kerajaan wilayah Kalimantan Tengah bersama Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) telah melaksanakan langkah pencegahan sejak Mac lalu bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak.
Berdasarkan analisis satelit Kementerian Kehutanan Indonesia, Kalimantan Tengah kini berada di kedudukan kesembilan secara nasional berdasarkan keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran.
Setakat ini, kebakaran hutan dan tanah di wilayah itu melibatkan kawasan seluas 7,634.46 hektar dengan sebanyak 19,992 titik panas dikesan di 14 daerah dan bandar.
Sebanyak 13 daerah dan bandar turut mengisytiharkan status berjaga-jaga darurat bencana kebakaran hutan dan tanah.
Bagi menangani situasi itu, kira-kira 10,700 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan ke lapangan.
Mereka membabitkan anggota agensi pengurusan bencana, Jabatan Perhutanan, pasukan bomba, Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis, Jabatan Kesihatan, Manggala Agni serta sukarelawan.
Prabowo tambah helikopter, pam air
Dalam pada itu, Prabowo turut memberi respons terhadap keperluan operasi di lapangan dengan menambah tiga unit helikopter bagi operasi pengeboman air (water bombing) serta 200 pam air.
Penambahan aset itu dijangka memperkukuh operasi pemadaman dan mempercepatkan usaha mengawal kebakaran di beberapa kawasan di Kalimantan Tengah.
Pada masa sama, kerajaan wilayah turut menasihatkan penduduk supaya memakai pelitup muka dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami masalah kesihatan akibat asap.
Menurut pihak berkuasa, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko gangguan kesihatan, khususnya jangkitan saluran pernafasan akut akibat pencemaran asap daripada kebakaran.
Hujan turun selepas solat istisqa
Sementara itu, Gabenor Kalimantan Tengah, Agustiar Sabran bersama Timbalan Gabenor, Edy Pratowo turut mengetuai pelaksanaan solat istisqa dan doa bersama di Bundaran Besar Talawang, Palangkaraya pada Ahad.
Program itu turut disertai anggota TNI dan polis, penjawat awam, pertubuhan masyarakat Islam, tokoh agama serta penduduk tempatan yang bersama-sama memohon hujan ketika musim kemarau masih berterusan.
Beberapa jam selepas solat istisqa dan doa bersama diadakan, beberapa kawasan di Kalimantan Tengah dilaporkan menerima hujan.
Antara kawasan yang dilaporkan menerima hujan termasuk sekitar Palangkaraya, Jalan Tjilik Riwut Kilometer 9, Jalan Badak Ujung, Pasar Kahayan, Pasar Besar dan Jalan Murjani.

