Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap kumpulan tenaga pengajar Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara semalam bagi meneliti perkembangan program perintis yang memfokuskan pembangunan bakat seni serta pembentukan sahsiah pelajar daripada golongan B40.
Menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat oleh Tiara Jacquelina selaku pengasas Akademi Enfiniti yang menjadi badan pelaksana program berkenaan.
Taklimat itu menyentuh perjalanan serta pencapaian program sejak ia dilancarkan pada 29 Januari lalu.
“Hasrat saya adalah supaya program ini menjadi satu saluran yang dapat membentuk perwatakan individu serta mewujudkan persahabatan yang positif dalam kalangan anak-anak ini agar mereka dapat menjauhkan diri daripada gejala sosial.
“Ia juga membuka ruang pendedahan terhadap peluang kerjaya dalam bidang seni kepada mereka yang benar-benar berminat dan cenderung dalam kesenian serta kebudayaan,” titah baginda.
Program Ilham Seni Diraja diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni dan budaya dalam persekitaran yang sihat dan membina.
Selain itu, program berkenaan turut dilihat mampu membantu melindungi golongan muda daripada terpengaruh dengan gejala sosial.
Seramai 200 pelajar bersama 14 guru daripada tujuh sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam program tersebut.
Ia dilaksanakan hasil kerjasama antara Istana Negara, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.
Melalui program itu, peserta didedahkan dengan pelbagai cabang seni persembahan termasuk lakonan, muzik, fesyen serta aspek pengurusan belakang tabir dalam sesebuah pementasan.