Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemergian pelakon veteran, Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man pada petang Rabu nyata mengundang kesedihan ramai.
Sebagai peminat yang membesar dengan lakonannya di kaca televisyen, kita pastinya turut merasai kehilangan tersebut.
Apatah lagi rakan-rakan seperjuangannya dalam dunia seni yang pernah berkongsi pentas, set penggambaran serta pelbagai kenangan bersama Allahyarham.
Menerusi hantaran di media sosial, ramai rakan artis yang mengucapkan takziah dan sangat bersedih susulan berita kematian pelakon berusia 67 tahun itu.
Salah seorang dari mereka ialah Amir Raja Lawak yang berkongsi gambar memaparkan dia sedang menziarahi jenazah Allahyarham.
Menurutnya, jenazah itu akan dikebumikan pada pukul 11 pagi esok di Tanah Perkuburan Gual Petai Lima, Tanah Merah, Kelantan.
"Hasan datang ni Abg Mat (Watak kami shooting cerita Hasan Lembu).
"Alhamdulillah, dapat Hasan cium Abg Mat buat kali terakhir. Terima kasih untuk kenangan, ilmu, serta nasihat sepanjang perkenalan kita.
"Semoga syurga sebagai ganti tempat tinggal Arwah Abang Kamarool.
"Buat kawan-kawan yang nak datang bagi penghormaran terakhir, boleh datang ye," ujarnya.

Terdahulu, Amir telah berkongsi kepada orang ramai mengenai keadaan Allahyarham yang dimasukkan ke hospital, sebelum memaklumkan bahawa Allahyarham telah meninggal dunia.
Selain itu, pelakon, Ayda Jebat, turut mengucapkan takziah di atas pemergian Cik Man.
Ayda berkata Cik Man yang dikenalinya merupakan seorang yang sangat mudah bekerjasama.
"Telefon je terus datang, jauh dari Kelantan cari rezeki. Moga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Hazama pula berkongsi video kenangan ketika menjalani penggambaran bersama Allahyarham.
"Selamat jalan Cik Man ke negeri abadi..
"Terima kasih di atas segala nasihat dan kenangan. Sama-sama sedekahkan Al-fatihah untuk arwah Kamarool Haji Yusoff.. Terima kasih Cik Man.. Hero yang tak didendangkan..," ujarnya.
Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro pula mengakui terkejut menerima khabar kematian Allahyarham.
Kongsinya, kenangan bekerja bersama Cik Man masih segar dalam ingatan.
Selain baik dan senang berkawan, Cik Man juga digambarkan sebagai seorang yang menggembirakan.
"Kepada follower saya semua. Marilah sama-sama kita doakan semoga Allahyarham Kamarool Haji Yusof (Cik Man) ditempatkan bersama golongan insan yang beriman," kata Ajak.

Begitu juga dengan Fad Bocey, dia berkata Allahyarham merupakan seorang yang sangat hebat dan baik hati.
"Antara penghibur otai yang paling merendah diri pernah aku jumpa, berpeluang beberapa kali juga dapat bekerjasama dengan Allahyarham Cikman," kongsinya.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah untuk seluruh keluarga Allahyarham.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan