Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rakyat Indonesia ‘Mudik’ Aidilfitri, Viral Foto Penduduk Bawa Penyapu Sapu Duit Dilempar Pengguna Jalan

Fazidi

Seperti di mana-mana negara yang penduduk majoritinya beragama Islam, Indonesia juga tidak terlepas dengan kemeriahan warga kota pulang ke desa untuk menyambut hari raya.

Dengan populasi penduduk melebihi 250 juta orang, memang tidak dapat dibayangkan kesesakkan yang perlu ditempuhi pengguna-pengguna jalan raya di sana. Apatah lagi jika mengambil kira saiz daratan Indonesia yang begitu luas, cabaran untuk tiba di destinasi mungkin bertambah dan mustahil ada yang perlu berdepan dengan kesesakan jalan raya berhari-hari.

Dalam pada itu, memetik laporan Suara.com, kebenaran ‘mudik’ yang diberi oleh kerajaan Indonesia pada tahun ini juga telah menghidupkan kembali tradisi yang dua tahun sebelum ini menyepi.

Tradisi yang dimaksudkan adalah penduduk di sesetengah kampung yang mengambil kesempatan membawa penyapu dan berada di tepi-tepi jalan utama. Tujuannya adalah untuk ‘menyapu’ duit-duit yang dilemparkan oleh pengguna jalan yang melalui jalan tersebut.

Difahamkan, wang-wang berkenaan merupakan pemberian atau sedekah oleh pengguna-pengguna jalan.

Berdasarkan foto-foto yang beredar di media sosial, dapat dilihat mereka yang berkumpul terdiri daripada pelbagai peringkat umur tanpa mengira jantina. Jika dilihat dengan lebih dekat, penyapu yang dibawa juga mirip antara satu sama lain.

Selain itu, ada juga yang mengaitkan tradisi ini dengan mitos sesuatu tempat. Misalnya di Desa Sukra, Kabupaten Indramayu, pengguna jalan akan melempar syiling apabila melalui sebuah jambatan yang ada di kawasan tersebut.

Kononnya, jambatan berkenaan merupakan tempat tinggal mendiang Saedah dan Saeni yang meninggal dunia di sungai tersebut. Saeni merupakan seorang penari ronggeng Pantura dan setelah mati, dia bertukar menjadi buaya.

Manakala Saedah pula yang merupakan seorang tukang kendang berubah menjadi Bunga Cempaka Putih.

Dari situ, maka muncul mitos bahawa mana-mana pengguna jalan dipercayai akan selamat sekiranya mereka melempar syiling di atas jambatan berkenaan. Mitos berkenaan dipercayai kekal hingga ke hari ini dan segelintir pengguna jalan benar-benar mempercayainya.

Rata-rata penduduk disitu juga mendapat rezeki hasil daripada mitos berkenaan, terutamanya ketika musim lebaran. Dikatakan, sebahagian daripada mereka mampu ‘menyapu’ pendapatan diantara Rp 100,000 – 500,000 setiap orang (RM 30 – 150) apabila musim ‘mudik’ bermula.

Sumber: Suara.com, Detik.news