Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rakyat Malaysia Luang Lebih 5 Jam Sehari Urus Kerja Rumah Tanpa Bayaran - DOSM

MALAYSIA
Kredit: Bernama

Rakyat Malaysia Luang Lebih 5 Jam Sehari Urus Kerja Rumah Tanpa Bayaran - DOSM

Rakyat Malaysia secara purata memperuntukkan lebih lima jam sehari untuk menguruskan kerja rumah dan tanggungjawab penjagaan tanpa bayaran, menurut dapatan terbaharu Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 21.7 peratus daripada masa harian penduduk negara ini digunakan untuk kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar, bersamaan purata 5 jam 12 minit sehari.

Menurut beliau, kumpulan umur 45 hingga 54 tahun merekodkan tempoh paling tinggi dengan purata 5 jam 43 minit sehari.

Katanya, ia diikuti oleh golongan berumur 25 hingga 44 tahun yang meluangkan 5 jam 35 minit, manakala kumpulan 55 hingga 64 tahun pula mencatatkan purata 5 jam 31 minit sehari.

“Sebaliknya, golongan muda berusia 15 hingga 24 tahun memperuntukkan masa paling rendah iaitu sekitar 3 jam 53 minit sehari.

“Situasi ini menggambarkan tanggungjawab domestik dan penjagaan lebih besar dipikul oleh individu pada peringkat pertengahan kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, jika dibandingkan di peringkat antarabangsa, kadar penglibatan rakyat Malaysia dalam kerja domestik tanpa bayaran adalah lebih tinggi berbanding purata negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Menurutnya, wanita di Malaysia memperuntukkan kira-kira 6 jam 7 minit sehari atau 25.5 peratus daripada masa harian mereka untuk aktiviti tersebut.

Katanya, angka itu jauh lebih tinggi berbanding purata sekitar 17 peratus di negara anggota OECD.

Bagi lelaki pula, katanya, sebanyak 18.1 peratus masa harian digunakan untuk kerja tidak berbayar berbanding sekitar sembilan hingga 11 peratus di peringkat global.

“Dapatan ini menunjukkan beban kerja domestik dan penjagaan tanpa bayaran di Malaysia masih tinggi bagi kedua-dua jantina.

“Namun wanita masih memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam aspek ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Uzir berkata golongan bukan orang kurang upaya (OKU) merekodkan purata masa lebih tinggi dalam kerja tidak berbayar iaitu 5 jam 12 minit sehari.

Menurutnya, golongan OKU pula memperuntukkan sekitar 2 jam 59 minit sehari bagi aktiviti sama.

Katanya, walaupun tempoh itu lebih rendah, penglibatan golongan OKU dalam kerja domestik tetap menunjukkan kepentingan sistem sokongan sosial yang lebih inklusif.

Beliau berkata, statistik berkenaan boleh dijadikan asas penting dalam memperkukuh dasar pembangunan sosial, keseimbangan kerja dan kehidupan serta usaha memperkasakan kesaksamaan gender.

“Pada masa sama, ia juga membantu mengiktiraf nilai kerja domestik dan penjagaan tidak berbayar dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta produktiviti negara,” katanya.