Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Ambil Mudah, Ini 3 Kesan Buruk Tidur Dengan Rambut Basah

rambut basah
Kredit: ImageFX

Ramai Ambil Mudah, Ini 3 Kesan Buruk Tidur Dengan Rambut Basah

Dalam kehidupan seharian, ramai antara kita pulang ke rumah dalam keadaan letih selepas seharian bekerja atau belajar.

Selepas mandi pada waktu malam, ada yang berasa malas untuk menunggu rambut kering sepenuhnya kerana ingin segera berehat.

Tambahan pula, keletihan sering membuatkan kita mengambil jalan mudah, iaitu terus berbaring dan tidur walaupun rambut masih basah.

Justeru, kali ini SK akan kongsikan tiga kesan buruk tidur dengan rambut masih basah, menurut portal Sleep Foundation.

1. Rambut boleh jadi rosak

Menurut portal Sleep Foundation, tidur dengan rambut basah boleh meningkatkan risiko rambut menjadi kusut atau mudah patah.

Difahamkan, setiap helaian rambut terdiri daripada gabungan protein dan sel yang menentukan kekuatan serta keanjalannya.

Rambut basah yang tidak melalui rawatan kimia boleh diregangkan sehingga kira-kira 30 peratus daripada panjang asal tanpa menyebabkan kerosakan serius atau patah.

Namun, rambut yang telah dirawat dengan bahan kimia seperti diwarnakan, diluruskan atau dilunturkan lebih rapuh dan mudah rosak.

Setiap helaian rambut dilindungi secara semula jadi oleh lapisan sisik halus yang dipanggil kutikel.

Kredit: ImageFX

Kutikel mengandungi asid lemak tertentu yang menjadikan rambut kurang menyerap air.

Namun, sesetengah produk penjagaan rambut boleh menghilangkan asid lemak ini, menyebabkan rambut menyerap lebih banyak air.

Apabila rambut menyerap air berlebihan, helaian rambut boleh membengkak dan strukturnya menjadi lemah.

Tanpa penjagaan yang betul, rambut yang dirawat kimia lebih mudah mengembang dan kusut apabila kering.

Geseran tambahan apabila tidur di atas bantal dengan rambut basah juga boleh memburukkan keadaan, kerana rambut boleh tertarik melebihi tahap keanjalannya, lalu menyebabkan ia patah.

2. Jerawat

Portal Sleep Foundation menasihatkan supaya individu tidak tidur di atas bantal yang lembap kerana keadaan lembap sesuai untuk pembiakan sesetengah bakteria.

Difahamkan, ini berpotensi meningkatkan masalah kulit seperti jerawat.

Jerawat berlaku apabila liang pori tersumbat oleh minyak semula jadi badan dan sel kulit mati.

Kredit: ImageFX

Kebiasaannya, jerawat dipengaruhi oleh faktor genetik dan perubahan hormon, yang boleh meningkatkan pengeluaran minyak pada kulit serta menjejaskan proses pembersihan minyak dan sel kulit mati.

Bantal yang lembap atau tercemar dengan sisa produk rambut boleh membiakkan jerawat.

Keadaan ini boleh menyebabkan pori-pori tersumbat dan kulit menjadi meradang. Atas sebab ini, sesetengah pakar mencadangkan supaya tidur dengan rambut yang bersih, kering dan dijauhkan daripada muka.

3. Jangkitan kulit kepala

Menurut portal Sleep Foundation, terdapat pelbagai jenis kulat pada tubuh kita. Bantal dan folikel rambut juga boleh menjadi tempat kulat berada.

Namun, dalam keadaan yang lembap, sesetengah kulat boleh menyebabkan jangkitan pada kulit kepala dan bahagian badan lain.

Sebagai contoh tinea capitis, iaitu kulat yang mudah membiak di kawasan lembap dan boleh menyebabkan penyakit kulit kepala.

Ia boleh menyebabkan kegatalan dan rambut mudah patah, serta munculnya tompok botak dengan bintik hitam, kulit merah, bengkak dan bersisik di kulit kepala.

Seterusnya, kulat malassezia yang boleh ditemui pada folikel rambut dan dikaitkan dengan masalah kulit dipanggil dermatitis seborrheic.

Keadaan ini boleh menyebabkan kelemumur pada kulit kepala serta tompok kulit berminyak dan kekuningan di muka dan kepala.

Akhir sekali, kulat aspergillus fumigatus yang selalunya dikesan pada bantal. Ia boleh menyebabkan jangkitan aspergillosis, yang dalam sesetengah kes boleh membawa kepada masalah pernafasan yang serius.

Kebanyakan jangkitan kulat lebih mudah berlaku pada individu yang mempunyai sistem imun lemah.