Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Puji Usaha Masjid Pasang Ceramah Pada Skrin LED Besar Tepi Jalan

Hannah
ceramah led besar
Gambar: @anwafri/TikTok

Ramai Puji Usaha Masjid Pasang Ceramah Pada Skrin LED Besar Tepi Jalan

Setiap kali ada ceramah agama, tazkirah atau kuliah yang disampaikan oleh para agamawan, pasti ramai yang berkeinginan untuk hadir.

Namun, realitinya tidak semua mempunyai kelapangan masa.

Tetapi siapa sangka, sebuah masjid di Kelantan tampil dengan satu inisiatif yang bukan sahaja mencuri perhatian ramai. Malah, turut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

"Hanya di Kelantan..."

Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang memaparkan kelainan dilakukan oleh pihak pengurusan Masjid An-Naim Sri Cemerlang di Kota Bharu, Kelantan.

Menerusi video tersebut, kelihatan sebuah skrin LED bersaiz besar dipasang di luar kawasan masjid, menghadap laluan jalan raya yang sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Apa yang menarik perhatian ramai adalah skrin tersebut menayangkan sesi tazkirah yang disampaikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Hamdan Ariffin.

Perkongsian itu dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok yang meluahkan rasa terharu melihat usaha pihak masjid.

"Terharu campur sebak mashaa Allah. This is Kelantan, in shaa Allah moga kekal begini sampai bila-bila," tulisnya di ruangan kapsyen.

Tunggu "traffic light" pun boleh dengar tazkirah

Mungkin bagi sesetengah orang, beberapa minit menunggu lampu isyarat hanyalah masa yang dihabiskan dengan melihat telefon atau memerhati kenderaan di sekeliling.

Namun dengan inisiatif ini, beberapa minit yang singkat itu bertukar menjadi sesuatu yang lebih 'bermakna'.

Kedudukan skrin LED yang menghadap jalan raya membolehkan pengguna jalan raya yang berhenti di persimpangan berhampiran mendengar pengisian tazkirah walaupun hanya untuk satu atau dua minit.

Bak kata netizen, kadangkala hidayah datang dalam cara yang tidak disangka-sangka.

"Penat seharian kerja. Dapat dengar nasihat dan peringatan yang baik untuk dua tiga minit pun rasa insaf dan recharge balik semangat."

Netizen puji usaha AJK masjid

Apa yang dilakukan oleh pihak masjid ini turut membuka mata ramai bahawa teknologi tidak semestinya digunakan untuk hiburan semata-mata.

Jika dimanfaatkan dengan cara yang betul, teknologi boleh menjadi medium yang sangat berkesan untuk menyampaikan dakwah dan menyebarkan perkara-perkara baik kepada masyarakat.

Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang apabila perhatian manusia sering tertumpu kepada skrin dan paparan digital.

"Alhamdulillah. Teknologi tak salah kalau digunakan untuk menyebarkan dakwah dan kebaikan. Terbaik AJK Masjid An-Naim Kota Bharu."