Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Sangka Daun Ketumbar Rasa Sabun & ‘Busuk’, Ini Penjelasan Saintifik

Athirah
daun ketumbar

Ramai Sangka Daun Ketumbar Rasa Sabun & ‘Busuk’, Ini Penjelasan Saintifik

Mungkin ada yang menyukai daun ini dan mungkin juga ada yang kurang gemar disebabkan baunya yang agak kuat.

Lazimnya, daun ini sering digunakan dalam pelbagai hidangan seperti sup dan tomyam.

Nama daun ini juga cukup unik iaitu daun ketumbar atau coriandrum sativum.

Ada sesetengah individu yang tidak tahan dengan aromanya sehingga hilang selera makan, malah ada yang terus tidak dapat menikmati hidangan walaupun itu makanan kegemaran mereka.

Namun berbeza pula bagi penggemarnya. Ada yang menjadikan daun ketumbar sebagai ulam mentah yang dimakan bersama nasi dan sambal belacan.

Secara umumnya, daun ini memberikan pengalaman bau dan rasa yang berbeza kepada setiap orang.

Ada yang merasakan aromanya segar dengan sedikit rasa sitrus.

Namun, ada juga yang menganggap baunya seperti serangga, sabun atau sayur yang sudah rosak.

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku? Hari ini SK akan berkongsi penjelasan saintifik di sebalik fenomena ini.

Bagaimana bau ketumbar boleh membuat sesetengah orang tidak suka

Menurut portal Cleveland Clinic, jika anda kurang gemar dengan rasa daun ketumbar, ia sebenarnya dipengaruhi oleh faktor genetik.

Pakar perubatan keluarga, Dr. Neha Vyas berkata terdapat gen khusus yang dikenali sebagai OR6A2, yang menjadikan sesetengah individu sangat sensitif terhadap salah satu komponen dalam daun ketumbar.

Difahamkan, sensitiviti ini boleh menyebabkan rasa herba tersebut seperti sabun.

Dr. Neha Vyas menjelaskan individu yang tidak menyukai daun ketumbar biasanya memiliki gen ini, yang mengesan bahagian aldehid dalam ketumbar sebagai bau dan rasa seperti sabun.

Aldehid ialah sejenis bahan organik dengan struktur kimia khas.

Ia terdiri daripada satu atom karbon yang bergabung dengan satu atom oksigen, serta dua ikatan kimia lain.

Jika salah satu ikatan itu bersambung dengan atom hidrogen, sebatian tersebut dinamakan aldehid, manakala jika kedua-duanya bukan hidrogen, ia dikenali sebagai keton.

Siapa yang tidak boleh bau daun ketumbar?

Menurut portal Cleveland Clinic, kebanyakan orang tidak memiliki gen OR6A2, justeru daun ketumbar terasa normal bagi mereka.

Namun, satu kajian menunjukkan bahawa antara 3 peratus hingga 21 peratus individu tidak tahan dengan rasa daun ketumbar, dan wanita sedikit lebih cenderung daripada lelaki untuk merasai rasa seperti sabun.

Kajian yang sama juga mendapati bahawa individu berketurunan Kulit Hitam, Latino, Asia Timur dan Asia Selatan kurang berkemungkinan merasai rasa sabun berbanding mereka yang berketurunan Eropah.

Faktor budaya turut memainkan peranan kerana banyak masakan global, termasuk masakan Thai, Mexico dan India menggunakan daun ketumbar secara meluas dalam hidangan harian.

Bolehkah ia diatasi?

Cara daun ketumbar berbau dan rasanya mungkin dipengaruhi oleh genetik, tetapi kesukaan terhadap herba ini boleh berubah mengikut faktor persekitaran.

Dr. Vyas menjelaskan bahawa berbeza dengan ciri genetik tetap lain, seperti warna mata atau rambut, kesukaan seseorang terhadap daun ketumbar boleh berubah melalui pengalaman.

Dengan pendedahan dan pengalaman positif, otak mampu mengatasi kecenderungan genetik.

Sebagai contoh, menikmati hidangan yang menyeronokkan bersama orang tersayang boleh mengubah persepsi terhadap daun ketumbar.

Dari masa ke masa, seseorang mungkin beralih daripada tidak menyukai herba ini sama sekali kepada benar-benar menyukainya.