Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ratusan Pelajar Dipercayai Keracunan Makanan Selepas Nikmati Hidangan MBG

Keracunan Makanan MBG
Kredit: BBC Indonesia

Ratusan pelajar Pondok Manbaul Hikam di Desa Putat, Sidoarjo, Jawa Timur dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan daripada program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) pada Selasa.

Memetik BBC Indonesia, beberapa buah sekolah di kawasan berkenaan turut melaporkan pelajar mereka mengalami gejala keracunan yang sama.

Dipercayai keracunan makanan MBG

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa makanan MBG tersebut dibekalkan oleh pusat penyediaan makanan yang sama, iaitu Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan (SPPG).

Menerusi tinjauan BBC Indonesia, puluhan pelajar terus-menerus dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Umum Daerah (RSUD) Notopuro, Sidoarjo sejak Selasa hingga tengah hari Rabu.

Kredit: Kompas

Beberapa kanak-kanak terpaksa menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berdiri. Ada juga yang baru diturunkan dari ambulans dalam keadaan lemah dan terbaring di atas katil dipercayai akibat keracunan makanan MBG.

Pada tengah hari Rabu, Jabatan Kecemasan hospital itu sesak sehingga pihak hospital terpaksa menambah katil bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Beberapa kanak-kanak turut dilihat terpaksa berbaring di atas pengusung kerana semua katil di Jabatan Kecemasan telah penuh.

Sementara itu, empat buah ambulans masih bersiap sedia di hadapan Pondok Manbaul Hikam untuk membawa pelajar ke hospital.

Pihak berkuasa tempatan turut mengarahkan Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan Kalitengah yang menyediakan makanan MBG kepada ratusan pelajar itu ditutup sementara.

Kredit:ANTARA

Bagaimanapun, Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI) berpandangan bahawa penutupan sementara SPPG Kalitengah sahaja tidak mencukupi.

Menurut Ketua Umum YLBHI, Muhammad Isnur, terdapat lebih 40,000 kes disyaki keracunan makanan MBG di seluruh Indonesia dan beliau menegaskan bahawa kes di Sidoarjo perlu menjadi titik noktah.

Kejadian di Sidoarjo bermula apabila hidangan MBG tiba di pondok berkenaan kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan pada Selasa.

Kira-kira 1,010 hidangan kemudian diagihkan kepada para pelajar serta murid Madrasah Tsanawiyah dan Madrasah Aliyah Manbaul Hikam.

Menurut pihak pondok, makanan tersebut bukan dimasak oleh dapur mereka, sebaliknya dihantar dari SPPG Kalitengah.