Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RCI Tabung Haji: Radzi Jidin Persoal Perakaunan Kreatif Atau Pelaporan Kewangan Fraud

RADZI
Kredit: Bernama

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) perlu diperjelaskan khususnya berhubung kaedah penilaian aset yang digunakan sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar ‘creative accounting’ atau menjurus kepada ‘fraudulent financial reporting’.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, persoalan itu antara perkara yang dibangkitkannya ketika membahaskan laporan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, antara perkara utama dalam laporan RCI ialah kaedah penilaian aset Tabung Haji, khususnya penggunaan Reasonable Asset Value (RAV) serta kaedah rosot nilai.

Menurutnya, berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), dividen tidak boleh dibayar sekiranya aset Tabung Haji lebih rendah daripada liabiliti.

Katanya, liabiliti utama Tabung Haji ialah wang simpanan pendeposit yang direkodkan dalam akaun masing-masing dan sukar untuk diubah nilainya.

“Sekiranya nilai aset kurang daripada liabiliti dan nilai liabiliti tidak boleh diubah, maka jika hendak menunjukkan bahawa aset melebihi liabiliti, nilai aset perlu dinaikkan lebih tinggi.

“Bagaimana nak naikkan nilai aset?” katanya menerusi hantaran video di Facebook semalam.

Jelasnya, berdasarkan perkara yang dihuraikan dalam laporan RCI, pihak pengurusan Tabung Haji menggunakan RAV bagi menilai aset yang mengalami peningkatan harga berbanding nilai yang direkodkan dalam penyata kewangan.

Menurut Mohd Radzi, Suruhanjaya mendapati pengiraan RAV berkenaan merupakan anggaran yang dibuat pihak pengurusan Tabung Haji dan bukannya berdasarkan harga pasaran bagi saham tersenarai atau penilaian bebas bagi aset hartanah.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kaedah rosot nilai bagi aset yang mengalami penurunan harga pasaran.

Katanya, jika aset berkenaan dirosot nilai, nilai keseluruhan aset Tabung Haji akan berkurangan dan berpotensi menjejaskan keupayaan untuk membayar dividen.

“Menurut Suruhanjaya, rosot nilai hanya dibuat apabila nilai pasaran jatuh sebanyak 70 peratus daripada kos pelaburan asal.

“Ini kemudiannya diubah kepada 85 peratus dan seterusnya 90 peratus dalam tempoh satu hari bagi tahun kewangan 2017,” ujarnya.

Mohd Radzi mempersoalkan sebab perubahan ambang rosot nilai itu dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh sehari.

“Tidak lain tidak bukan tujuannya supaya nilai aset yang harga pasarannya telah banyak jatuh tidak diturunkan nilainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan boleh dikategorikan sebagai creative accounting atau fraudulent financial reporting seperti yang dibangkitkan dalam laporan RCI.

“Soalan saya kepada kerajaan, adakah tindakan ini dikira sebagai creative accounting? Dalam laporan Suruhanjaya disebut sebagai creative accounting ataupun ia fraudulent financial reporting.

“Mohon penjelasan kerajaan kerana perkara ini amat berbeza dan tindakan ke atas pelaku adalah amat-amat berbeza,” katanya.

Beliau berkata, persoalan berkenaan penting untuk diperjelaskan kerana ia bukan sahaja melibatkan kaedah perakaunan dan penilaian aset, malah menyentuh soal tadbir urus serta kepentingan wang simpanan pendeposit Tabung Haji.