Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Kelantan semalam meraikan atlet Muay Thai negeri itu, Aliff Rakib, yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau berbesar hati dapat bersama keluarga Alif dalam majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan itu.
“Di sebalik kejayaan tersebut, terserlah kesungguhan, keberanian dan disiplin seorang anak muda yang telah mengharumkan nama Kelantan dan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian membanggakan itu, Kerajaan Kelantan turut menyumbangkan RM20,000 kepada Aliff Rakib.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Mohamad.
Menurut Mohd Nassuruddin, beliau turut sempat bergurau senda bersama Aliff mengenai kekuatan pukulannya yang berjaya menumbangkan lawan dalam pertarungan sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Aliff dijangka kembali beraksi pada Oktober ini menentang Juara Dunia Muay Thai Strawweight, Prajanchai PK Saenchai, dalam pertarungan yang dijadualkan berlangsung di Malaysia.
“Marilah kita sama-sama mendoakan dan memberikan sokongan kepada Aliff Rakib.
“Semoga beliau terus cemerlang, melangkah lebih jauh dan mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di persada dunia,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan