Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Red Notice INTERPOL: Siapa Yang Layak Jadi Buruan Antarabangsa?

INTERPOL
Logo INTERPOL. Kredit: AFP

Red Notice INTERPOL: Siapa Yang Layak Jadi Buruan Antarabangsa?

Apabila seseorang dikaitkan dengan Red Notice INTERPOL, ramai yang terus menganggap individu itu telah menjadi buruan polis antarabangsa dan akan ditangkap secara automatik di mana-mana negara.

Hakikatnya, tanggapan itu tidak tepat.

Red Notice bukan waran tangkap antarabangsa, sebaliknya satu mekanisme kerjasama antara negara anggota INTERPOL untuk membantu mengesan individu yang dikehendaki bagi tujuan ekstradisi atau tindakan undang-undang.

Jadi, bagaimana sebenarnya Red Notice berfungsi dan siapa yang layak dikenakan notis ini?

Apa Itu Red Notice?

Red Notice ialah satu permintaan rasmi kepada agensi penguat kuasa di seluruh dunia untuk mengesan serta membuat tangkapan sementara terhadap seseorang yang dikehendaki, sementara menunggu proses ekstradisi, penyerahan atau tindakan undang-undang lain.

Bagaimanapun, ia bukan waran tangkap antarabangsa.

Setiap negara mempunyai undang-undang sendiri dan berhak menentukan sama ada mahu membuat tangkapan terhadap individu yang tersenarai dalam Red Notice atau tidak.

Malah, individu tersebut sebenarnya dikehendaki oleh negara yang membuat permohonan, bukannya oleh INTERPOL sendiri.

Apakah Maklumat Yang Terkandung Dalam Red Notice?

Sesuatu Red Notice biasanya mengandungi dua maklumat utama iaitu:

  • Identiti individu seperti nama, tarikh lahir, kewarganegaraan, gambar, cap jari serta maklumat fizikal jika ada.

  • Maklumat mengenai kesalahan yang disyaki dilakukan seperti pembunuhan, rogol, pemerdagangan manusia, penipuan, rompakan bersenjata dan jenayah berat lain.

Kebanyakan Red Notice hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa, manakala hanya sebahagian kecil disiarkan kepada umum jika bantuan orang ramai diperlukan atau individu terbabit dianggap mengancam keselamatan awam.

Siapa Yang Layak Dikenakan Red Notice?

INTERPOL hanya mempertimbangkan permohonan melibatkan jenayah berat mengikut undang-undang jenayah biasa.

Antara kesalahan yang lazim melibatkan Red Notice ialah:

  • Pembunuhan

  • Rogol

  • Pemerdagangan manusia

  • Penyeludupan dadah

  • Pengubahan wang haram

  • Jenayah siber antarabangsa

  • Penipuan berskala besar

  • Keganasan

Notis ini boleh dikeluarkan sama ada terhadap individu yang masih diburu untuk didakwa atau mereka yang telah disabitkan kesalahan tetapi melarikan diri daripada menjalani hukuman.

Bukan Semua Kesalahan Boleh Mohon Red Notice

Ramai tidak mengetahui bahawa INTERPOL mempunyai garis panduan yang sangat ketat sebelum sesuatu Red Notice diluluskan.

Mengikut Peraturan INTERPOL, Red Notice tidak boleh dikeluarkan bagi kesalahan seperti:

  • Isu berkaitan budaya atau norma masyarakat yang dipertikaikan di negara lain.

  • Hal berkaitan keluarga atau kehidupan peribadi seperti zina, poligami atau hubungan sejenis.

  • Kesalahan pentadbiran atau pertikaian persendirian seperti saman trafik, fitnah atau cek tendang yang tidak melibatkan unsur penipuan.

Ini kerana INTERPOL hanya memberi fokus kepada jenayah serius yang memerlukan kerjasama rentas sempadan.

Setiap Permohonan Akan Ditapis

Sebelum sesuatu Red Notice diluluskan, permohonan akan disemak oleh Notices and Diffusions Task Force, iaitu pasukan khas INTERPOL yang terdiri daripada pegawai polis, pakar operasi dan peguam dari pelbagai negara.

Menurut INTERPOL, setiap permohonan akan dinilai berdasarkan Perlembagaan INTERPOL dan peraturan organisasi itu.

Sekiranya didapati tidak memenuhi syarat atau bercanggah dengan peraturan, permohonan akan ditolak atau dibatalkan.

INTERPOL Tidak Campur Tangan Dalam Kes Politik

Dalam pada itu, seorang peguam, Aidil Khalid, menerusi satu hantaran di Facebook menjelaskan bahawa walaupun mana-mana negara anggota boleh memohon pengeluaran Red Notice, INTERPOL tidak akan meluluskannya secara automatik.

Menurut beliau, organisasi itu tertakluk kepada Perlembagaan INTERPOL yang secara jelas melarang sebarang campur tangan dalam kes berunsur politik, ketenteraan, agama atau perkauman.

"Perkara 3 Perlembagaan INTERPOL secara tegas melarang organisasi itu daripada menjalankan sebarang aktiviti yang bersifat politik, ketenteraan, agama atau perkauman.

"Ini bermaksud INTERPOL tidak boleh digunakan jika pertuduhan yang dibuat mempunyai unsur politik seperti hasutan atau kenyataan berbaur politik," katanya.

Beliau berkata, fokus sebenar INTERPOL adalah membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, keganasan, pengedaran dadah, penipuan antarabangsa, jenayah siber dan pengubahan wang haram.

"INTERPOL bukan untuk disibukkan dengan jenayah kecil atau perkara remeh hanya kerana ada pihak yang berasa tidak puas hati," ujarnya.

Ada Tiga Syarat Penting Sebelum Red Notice Diluluskan

Aidil turut menjelaskan bahawa Kaedah 83 Peraturan INTERPOL Mengenai Pemprosesan Data menetapkan beberapa syarat utama sebelum sesuatu Red Notice boleh dikeluarkan.

Menurutnya, syarat tersebut ialah:

  • Tidak melibatkan kesalahan yang berkaitan isu budaya atau norma yang dipertikaikan di negara lain.

  • Kesalahan itu lazimnya melibatkan hukuman yang serius dan bukan kes ringan.

  • Pengeluaran Red Notice mestilah benar-benar penting bagi tujuan kerjasama polis antarabangsa.

Beliau berkata, kesalahan kecil atau dakwaan yang tidak dianggap jenayah di kebanyakan negara bukanlah perkara yang sepatutnya menggunakan mekanisme INTERPOL.

Red Notice Bukan Tiket Automatik Ke Penjara

Walaupun seseorang tersenarai dalam Red Notice, ia tidak bermaksud individu itu akan ditangkap secara automatik setiap kali memasuki sesebuah negara.

Sebaliknya, keputusan untuk menahan individu tersebut bergantung kepada undang-undang negara berkenaan serta sama ada mereka mengiktiraf Red Notice sebagai asas untuk membuat tangkapan sementara.

Ringkasnya, Red Notice hanyalah satu amaran antarabangsa bagi membantu negara anggota mengesan individu yang dikehendaki, bukannya waran tangkap antarabangsa seperti yang sering disalahertikan orang ramai.