Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ribuan Penyokong Sambut Kepulangan Skuad Cape Verde

Cape Verde
Gambar: AFP

Ribuan Penyokong Sambut Kepulangan Skuad Cape Verde

Tewas kepada Argentina, tetapi diraikan seperti juara. Itulah layanan luar biasa diterima skuad Cape Verde apabila ribuan penyokong membanjiri jalan-jalan di Praia untuk menyambut kepulangan pasukan yang mencipta kejutan besar dalam Piala Dunia 2026.

Perarakan meriah pada Ahad menyaksikan penyokong mengiringi bas yang membawa skuad bergelar Blue Sharks dari lapangan terbang menuju ke beberapa lokasi utama di bandar.

Suasana bertukar seperti pesta apabila orang ramai menyanyi, bermain alat muzik dan mengibarkan bendera sehingga menyebabkan pergerakan konvoi menjadi perlahan.

Gambar: AFP

Kemuncak sambutan menyaksikan pasukan itu diraikan di Istana Presiden.

Presiden Jose Maria Neves menyifatkan pencapaian mereka jauh lebih bermakna daripada keputusan di atas padang.

"Argentina menang, tetapi Cape Verde adalah pemenang sebenar," katanya ketika menyambut kepulangan pasukan tersebut.

Beliau turut berseloroh bahawa jika aksi Cape Verde menentang Argentina menjadi perlawanan paling ramai ditonton sepanjang kejohanan, ia bukan semata-mata kerana kehadiran juara dunia itu, sebaliknya kerana persembahan luar biasa yang dipamerkan Cape Verde.

Hampir kejutkan Juara Dunia

Cape Verde mencipta sensasi apabila mara ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia, sekali gus mengejutkan ramai pemerhati bola sepak.

Dalam aksi pusingan 32 terbaik di Miami pada Jumaat lalu, mereka hampir mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila mengheret Argentina ke masa tambahan sebelum akhirnya tewas tipis 3-2 kepada juara dunia itu.

Walaupun gagal meneruskan kemaraan, semangat juang yang dipamerkan berjaya memikat hati peminat bola sepak di seluruh dunia.

Sambutan istimewa bertepatan Hari Kemerdekaan

Kepulangan skuad Blue Sharks menjadi lebih bermakna apabila ia berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan Cape Verde.

Negara kepulauan di Afrika Barat yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk itu mencapai kemerdekaan daripada Portugal pada tahun 1975 selepas lebih 500 tahun dijajah.

Bagi penyokong, pencapaian pasukan itu kini menjadi satu lagi detik bersejarah buat negara mereka.

Gambar: AFP

Sambutan luar biasa daripada penyokong turut menyebabkan pasukan terpaksa membatalkan persinggahan yang dijadualkan di Bangunan Parlimen kerana keadaan terlalu sesak. Lawatan tersebut dijadualkan semula pada Isnin.

Perarakan akhirnya berakhir di Pantai Kebra Kanela, kawasan pantai utama di Praia, apabila ribuan lagi penyokong memberikan tepukan gemuruh sambil diiringi paluan gendang sebagai tanda penghargaan kepada pasukan kebangsaan mereka.

"Kelayakan ke Piala Dunia bukan kerana nasib..." - Bubista

Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista, menegaskan pencapaian pasukannya membuktikan kelayakan ke Piala Dunia bukanlah satu kebetulan.

"Kami membuktikan bahawa kelayakan ke Piala Dunia bukan kerana nasib. Kami menunjukkan semangat juang, kerja keras dan ketahanan sepanjang kejohanan, serta pulang dengan penuh rasa bangga," katanya.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Sukan Cape Verde, Antonio Duarte, memuji skuad Blue Sharks kerana berjaya mengangkat nama negara ke pentas dunia.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Cape Verde, Mario Semedo, pula percaya pencapaian bersejarah itu telah meletakkan standard baharu buat bola sepak negara tersebut.

"Cabaran selepas ini pasti lebih besar, namun saya yakin kami semua akan lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapinya," katanya.

Sumber:AFP