Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Piala Dunia 2026: Erling Haaland 'Cabar' Lionel Messi, Kylian Mbappe
Persaingan merebut anugerah Kasut Emas pada Piala Dunia FIFA 2026 kini memasuki fasa paling mendebarkan apabila penyerang Norway, Erling Haaland, menyamai rekod jaringan Lionel Messi dan Kylian Mbappé selepas aksi cemerlang menentang Brazil.
Haaland meledak dua gol buat Norway, sekali gus 'memanaskan' perebutan Kasut Emas yang kini menjadi tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia.
Ketiga-tiga pemain kini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring dengan tujuh gol, menjadikan perlumbaan merebut gelaran penjaring terbanyak sebagai antara yang paling sengit dalam sejarah kejohanan.
Apa yang menjadikan persaingan ini lebih menarik ialah setiap pemain membawa kisah tersendiri.
Messi tampil dalam kempen Piala Dunia terakhirnya dengan misi menutup karier antarabangsa penuh gemilang.
Mbappé pula terus membuktikan reputasinya sebagai penyerang berbisa di pentas kalah mati. Manakala, Haaland muncul sebagai watak baharu yang membawa Norway melakar pencapaian luar jangkaan.
Kemunculan Haaland dalam kelompok pendahulu Kasut Emas turut dianggap bersejarah kerana ini merupakan penampilan sulungnya di Piala Dunia.
Walaupun hampir tidak diberikan banyak ruang sepanjang perlawanan menentang Brazil, bintang Manchester City itu membuktikan ketangkasannya di hadapan gol apabila menanduk masuk jaringan pada minit ke-80 sebelum menambah satu lagi gol beberapa minit kemudian.
Dua gol tersebut bukan sahaja memastikan Norway mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah. Malah, mengesahkan status Haaland sebagai antara penyerang berbahaya di pentas bola sepak antarabangsa.
Walaupun berkongsi tujuh jaringan, Mbappé masih berada di hadapan dalam perlumbaan Kasut Emas berdasarkan jumlah bantuan gol (assist).
Penyerang Perancis itu mengumpul dua bantuan gol, sekali gus memberinya kelebihan mengikut peraturan penentuan rasmi anugerah tersebut selepas membantu negaranya menewaskan Paraguay untuk mara ke pusingan seterusnya.
Dalam masa sama, Messi terus mencipta sejarah apabila memecahkan rekod jaringan keseluruhan di Piala Dunia hasil persembahan cemerlang ketika menentang Cape Verde dan Algeria.
Dengan aksi suku akhir semakin hampir, ruang untuk melakukan kesilapan kini semakin sempit.
Haaland, Messi dan Mbappé bakal meneruskan perjuangan untuk membawa negara masing-masing ke pentas final, sambil memburu gelaran penjaring terbanyak kejohanan.
Persaingan melibatkan tiga penyerang bertaraf dunia ini dijangka menjadi antara detik paling bersejarah dalam Piala Dunia, lapor TOI.
Messi, Mbappé dan Haaland kini berentap sehingga ke penghujung kejohanan bagi memburu kejuaraan dunia serta gelaran penjaring terbanyak.