Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya di sekitar Sepang sebagai persiapan menjelang penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, RM16 juta disediakan Kerajaan Persekutuan bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, manakala RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja di Jalan Negeri B48.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan berkenaan membabitkan beberapa laluan utama termasuk FT26, FT27, FT29 dan FT344, selain Jalan Negeri B48.
“Kerja-kerja yang sedang dilaksanakan meliputi pembaikan permukaan jalan, penyelenggaraan perabot jalan serta penambahbaikan sistem pencahayaan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, kerja berkenaan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang bersama Roadcare, Infrasel serta pasukan teknikal berkaitan.
Jelasnya, keseluruhan kerja itu disasarkan siap pada 15 September 2026 bagi memastikan laluan utama di sekitar Sepang berada dalam keadaan baik menjelang kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurut Aiman Athirah, penganjuran semula F1 di Sepang bukan sahaja mengembalikan acara sukan permotoran bertaraf dunia, malah membuka peluang untuk meningkatkan kemudahan serta infrastruktur yang turut memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Apabila Sepang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, kita mahu memastikan wajah Sepang berada dalam keadaan terbaik dengan jalan raya lebih selamat, persekitaran lebih kemas dan kemudahan awam lebih bersedia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Daerah Sepang, semua agensi serta pasukan teknikal yang terlibat dalam memastikan kerja penambahbaikan dapat disiapkan mengikut jadual.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan