Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Nampak tahi tikus di dapur, stor atau atas siling?
Jangan anggap perkara itu remeh.
Kehadiran tikus bukan sekadar menjijikkan, malah boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan termasuk penyakit leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus.
Haiwan perosak ini bukan sahaja merosakkan makanan, pakaian, wayar elektrik dan perabot, malah air kencing serta najisnya boleh mencemarkan persekitaran rumah tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, bakteria Leptospira yang terdapat dalam air kencing haiwan yang dijangkiti boleh menyebabkan penyakit serius kepada manusia, terutama jika seseorang terdedah kepada air atau permukaan yang telah tercemar.
Justeru, selain mengetahui tanda-tanda kehadiran tikus, penting juga untuk mengetahui cara menghalau haiwan perosak itu sebelum ia membiak dan menjadi ancaman kepada seisi keluarga.
Kenali simptom penyakit kencing tikus
Penyakit leptospirosis boleh bermula dengan simptom yang kelihatan seperti demam biasa, namun jika tidak dirawat segera ia boleh menjadi serius.
Antara simptom yang perlu diberi perhatian ialah:
Demam panas
Sakit kepala
Menggigil atau badan terasa sejuk
Sakit otot
Muntah
Sakit perut
Cirit-birit
Ruam atau kegatalan
Mata merah
Kulit dan mata menjadi kekuningan (jaundis)
Sekiranya mengalami beberapa simptom tersebut, segera dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital bagi mengesahkan sama ada anda dijangkiti leptospirosis.
Tanda-tanda tikus sudah 'menumpang' di rumah
Kadangkala tikus sukar dilihat, namun kehadirannya boleh dikenal pasti melalui beberapa petunjuk berikut:
Najis kecil berwarna coklat gelap menyerupai bentuk beras.
Bekas gigitan pada plastik makanan, kayu, perabot atau wayar elektrik.
Kesan hitam atau kotor pada dinding akibat laluan tikus yang berulang kali.
Bunyi cakaran di siling terutama pada waktu malam.
Kesan tapak kaki kecil pada kawasan berdebu atau bertabur tepung.
Lubang kecil di tanah berhampiran rumah yang dijadikan laluan atau sarang.
Sarang yang diperbuat daripada cebisan kertas atau kain, biasanya berhampiran sumber makanan.
9 petua mudah halau tikus tanpa perlu bergantung kepada racun
Ramai memilih menggunakan perangkap atau racun tikus. Namun, kaedah tersebut tidak semestinya mampu menghapuskan semua tikus yang berkeliaran.
Sebagai alternatif, anda boleh mencuba beberapa petua tradisional berikut.
1. Daun pandan
Daun pandan mengeluarkan aroma yang menyenangkan manusia tetapi tidak digemari tikus.
Letakkan beberapa helai daun pandan di kawasan laluan tikus, belakang peti sejuk, stor atau dalam almari.
2. Daun durian belanda
Daun durian belanda juga dipercayai mampu menghalau tikus.
Letakkan beberapa helai daun di kawasan yang sering menjadi laluan tikus dan gantikannya setiap dua hingga tiga hari bagi memastikan baunya kekal kuat.
3. Pokok semalu
Pokok semalu yang berduri halus dipercayai membuatkan tikus mengelakkan kawasan tersebut.
Jika mempunyai ruang di halaman rumah, cuba tanam pokok ini berhampiran laluan tikus.
4. Kulit durian
Selain durinya yang tajam, bau kulit durian juga tidak digemari tikus.
Letakkan beberapa potong kulit durian di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan itu.
5. Uncang teh terpakai
Jangan terus buang uncang teh yang telah digunakan.
Keringkan terlebih dahulu sebelum menggantung atau meletakkannya di kawasan yang sering dikunjungi tikus.
6. Serai wangi
Serai wangi merupakan antara bahan semula jadi yang paling popular digunakan untuk menghalau tikus.
Anda boleh menggunakan serai wangi segar atau semburan berasaskan serai wangi di sekitar laluan serta sarang tikus.
7. Cuka atau serbuk lada hitam
Titiskan cuka ke dalam bekas kecil dan letakkan di kawasan laluan tikus.
Jika kurang selesa dengan baunya, taburkan serbuk lada hitam sebagai alternatif.
8. Ubat gegat
Bau ubat gegat juga tidak digemari tikus.
Namun, penggunaannya perlu lebih berhati-hati kerana bahan tersebut mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kanak-kanak dan haiwan peliharaan jika tertelan.
9. Bela kucing
Jika anda pencinta kucing, ini mungkin cara paling menyeronokkan.
Walaupun tidak semua kucing gemar memburu tikus, sesetengah baka atau kucing yang aktif memburu mampu membantu mengurangkan kehadiran haiwan perosak itu di rumah.
Pencegahan lebih baik daripada merawat
Selain menggunakan petua di atas, pastikan rumah sentiasa bersih, sampah dibuang setiap hari, makanan disimpan dalam bekas bertutup dan semua lubang yang boleh menjadi laluan tikus ditutup dengan sempurna.
Persekitaran yang bersih dan bebas daripada sumber makanan merupakan langkah paling berkesan untuk mengelakkan tikus terus menjadikan rumah anda sebagai tempat berlindung.
Dengan tindakan awal dan penjagaan kebersihan yang konsisten, risiko kerosakan harta benda serta penularan penyakit akibat tikus dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan