Rwanda bakal menjadi negara Afrika pertama menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) sejak 1993 selepas mencapai perjanjian selama 10 tahun dengan pihak penganjur kejohanan berkenaan.
Negara di Afrika Timur itu dijangka menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix (GP) pertamanya pada awal 2030-an, sekali gus membuka lembaran baharu buat sukan permotoran di benua berkenaan selepas lebih tiga dekad.
Presiden Rwanda, Paul Kagame, sebelum ini mengumumkan hasrat negara itu untuk membida penganjuran perlumbaan F1 ketika Rwanda menjadi tuan rumah perhimpunan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Disember 2024.
Perlumbaan F1 terakhir di Afrika berlangsung menerusi GP Afrika Selatan pada 1993 yang menyaksikan Alain Prost muncul juara.
Menurut kenyataan F1, perlumbaan sulung di Rwanda hanya akan berlangsung selepas pembinaan litar baharu khusus untuk kejohanan itu di Bugesera siap sepenuhnya.
Presiden F1, Stefano Domenicali menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai detik bersejarah dalam usaha memperluas penganjuran perlumbaan ke seluruh dunia.
“Hari ini adalah detik bersejarah buat Formula 1.
“Dengan penyertaan Rwanda dalam kalendar perlumbaan mulai dekad akan datang, sukan ini akan berlangsung di setiap benua yang didiami manusia, sekali gus membawa kejuaraan dunia lebih dekat kepada peminat di seluruh dunia.
“Afrika sentiasa menjadi sebahagian daripada masa depan Formula Satu. Sejak awal lagi, kami bertekad untuk kembali dengan cara yang betul, bersama rakan kerjasama yang tepat, komitmen jangka panjang dan visi jelas bagi mewujudkan impak yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, Rwanda turut menggunakan penganjuran acara sukan antarabangsa sebagai antara usaha untuk merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Negara itu bagaimanapun masih dikaitkan dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 1994, yang kekal sebagai sebahagian daripada sejarah hitamnya.

