Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan dukacita berhubung insiden tragis yang mengorbankan nyawa serta menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan segala fakta berkaitan kejadian dikenal pasti dan diperjelaskan.
“Saya amat dukacita dengan insiden tragis yang telah meragut nyawa ini. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan segala fakta berkaitan kejadian dapat dikenal pasti dan diperjelaskan,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook hari ini.
Menurut Saifuddin, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya hasil siasatan mendapati wujud unsur kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang.
Jelasnya, perkara itu perlu diteliti berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan sebarang tindakan susulan dibuat terhadap pihak yang terbabit.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata seluruh warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
“Seluruh KDN & JIM mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Al-Fatihah,” katanya.

