Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wabak Salmonela Di UK Ragut Satu Nyawa, 207 Jatuh Sakit

Wabak Salmonela
Kredit: Gambar Hiasan --Foto BERNAMA

Seorang meninggal dunia manakala 207 yang lain jatuh sakit dalam wabak salmonela di United Kingdom (UK) yang mungkin mempunyai kaitan dengan makanan berasaskan telur import, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Selasa.

Dalam kemas kini terbaharu, UKHSA memaklumkan pihaknya melancarkan siasatan selepas mengesan peningkatan kes salmonela pada Mei yang disebabkan oleh strain sama, berdasarkan analisis penjujukan genom keseluruhan (WGS).

Wabak Salmonela ragut satu nyawa, 207 jatuh sakit

Sebanyak 207 kes disahkan direkodkan antara 11 Ogos 2025 hingga 1 Ogos 2026, dengan 206 kes dilaporkan tahun ini, menurut laporan Anadolu.

Analisis WGS mendapati kesemua kes berada dalam kelompok kaitan lima polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) yang sama, menunjukkan kemungkinan wujudnya sumber pencemaran yang sama.

Daripada jumlah itu, 199 kes dilaporkan di England, termasuk 47 kes di London dan 38 kes di Yorkshire and the Humber.

Mereka yang dijangkiti berusia antara bayi hingga 90 tahun, manakala lebih satu pertiga daripada pesakit memerlukan rawatan di hospital. Dua pesakit turut mengalami keracunan darah serius, menurut UKHSA.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan kebanyakan individu yang dijangkiti salmonela akan pulih tanpa memerlukan rawatan khusus.

“Kami bekerjasama dengan Agensi Piawaian Makanan (FSA) dan agensi kesihatan awam lain untuk menyiasat wabak salmonela yang mungkin mempunyai kaitan dengan telur yang diimport dari luar UK,” kata pakar epidemiologi utama jangkitan gastrousus UKHSA, Hannah Charles.

Salmonela boleh ditemui dalam pelbagai sumber makanan, termasuk ayam, daging dan telur mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna.

Sumber:Anadolu
Intipati
  • Seorang meninggal dunia dan 207 kes salmonela disahkan di UK, menurut UKHSA.
  • Wabak itu mungkin berkait dengan makanan berasaskan telur import dari luar UK.
  • Lebih satu pertiga pesakit dimasukkan ke hospital, manakala dua mengalami keracunan darah serius.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan