Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cuba bayangkan, ketika anda sedang berucap di depan orang ramai dan tidak bergantung pada nota bertulis, ‘muncul’ perkataan-perkataan ucapan tersebut di depan mata mengikut arah pergerakan mata anda.
Menurut BBC, kecanggihan itu merupakan salah satu daripada ciri dijanjikan oleh pencipta kanta sentuh ‘pintar’ yang akan tersedia pada masa depan, MOJO. Pendek kata, mata anda akan melihat manusia seperti dari lensa Iron Man.
“Bayangkan, anda merupakan seorang pemuzik dengan lirik dan kord tersedia di depan mata anda.
“Atau anda merupakan seorang atlet dan anda mempunyai biometrik yang menunjukkan jarak serta maklumat lain diperlukan,” kata wakil MOJO, Steve Sinclair menerusi BBC.

Difahamkan, MOJO akan memulakan ujian komprehensif kanta sentuh pintar mereka kepada manusia, iaitu individu yang memakainya diberikan paparan maya yang ‘terapung’ di depan mata.
Kanta ‘skleral’ produk (kanta yang lebih besar dan memanjang hingga bahagian putih mata) bukan sahaja akan membetulkan penglihatan pengguna, tapi turut dilengkapi dengan paparan mikroLED yang kecil, sensor pintar serta bateri solid-state.
“Kami telah mencipta sejenis prototaip lengkap dengan ciri dan beberapa fungsi yang boleh digunakan. Kami juga akan mengujinya dengan lebih mendalam tidak lama lagi.
“Apa yang lebih menarik adalah di mana kami telah mula optimumkan prestasi dan kuasa untuk diguna pakai dalam jangka masa yang lebih lama, mungkin juga sehingga sepanjang hari,” jelasnya.
Menurut tenaga pengajar sains optometrik di Columbia University, Rebecca Rojas, kanta itu juga mampu menjejaki tekanan intra-ocular dan juga kadar glukosa. Paras glukosa biasanya perlu dipantau rapi oleh penghidap diabetes.
“Ia juga menyediakan pilihan penghantaran ubat keluaran seterusnya yang memberi manfaat dalam diagnosis dan pelan rawatan. Ia memperlihatkan sejauh mana teknologi telah berkembang dan berpotensi untuk bantu kehidupan para pesakit,” jelasnya.
Di samping itu, penyelidikan mencipta kanta yang mampu untuk mendiagnosis dan merawat masalah mata, diabetes atau juga kanser juga dilapor sedang dijalankan.
Difahamkan, kanta khas perubatan tersebut berfungsi dengan menjejaki biomarker tertentu seperti paras cahaya, molekul berkaitan kanser atau jumlah glukosa dalam air mata.
Sementara itu, sekumpulan penyelidik di Universiti Surrey dilapor telah mencipta kanta sentuh pintar yang mengandungi pengesan foto untuk menerima maklumat optik serta pengesan suhu bagi mendiagnosis penyakit kornea berpotensi.
Menurut pensyarah storan tenaga dan bioelektronik di universiti tersebut, Yunlong Zhao berkata, kanta sentuh pintar tersebut turut mampu mengesan paras glukosa melalui cecair dalam mata.
“Kami jadikannya sangat ‘rata’ dengan lapisan ‘mesh‘ yang sangat nipis untuk diletakkan lapisan sensor terus pada kanta sentuh, supaya menyentuh terus pada mata serta bersentuhan dengan larutan cecair pada mata.
“Anda juga akan rasa lebih selesa apabila memakainya kerana ia lebih fleksibel dan bersentuhan secara langsung dengan larutan pada mata.
“Ia juga boleh memberikan hasil keberkesanan yang lebih tepat,” katanya, memetik BBC.
Walaupun projek tersebut dipercayai menjadi sesuatu yang mengujakan, namun difahamkan ia masih berhadapan dengan beberapa halangan yang perlu diatasi terlebih dahulu.
Memetik BBC, antara cabaran utama dihadapi mereka adalah bagaimana untuk membekalkan kuasa kepada kanta ‘pintar’ tersebut melalui bateri. Disebabkan saiznya terlalu kecil, kemampuan bekalan tenaganya masih menjadi persoalan.
Difahamkan, kemampuan produk teknologi tersebut masih dalam fasa ujian yang dijalankan MOJO bagi memastikan pelanggan mereka dapat memakainya sepanjang hari tanpa perlu mengecasnya semula.

“Hayat bateri bergantung kepada cara dan kekerapan ia digunakan, sama seperti telefon pintar atau jam tangan pintar anda,” jelas jurucakap syarikat itu, lapor BBC.
Selain itu, kebimbangan lain yang timbul adalah mengenai privasi. Difahamkan, ia pernah berlaku kepada cermin mata pintar Google yang dicipta pada 2014 lalu yang dianggap sebagai satu kegagalan.
“Mana-mana peranti pintar yang membolehkan pengguna mengambil gambar atau video secara berhadapan akan timbulkan isu privasi kepada orang ramai.
“Dengan cermin mata pintar, sekurang-kurangnya ada beberapa skop yang akan memberikan isyarat kepada orang yang melihatnya.
“Sebagai contoh, lampu amaran merah, namun dengan kanta lekap pintar, ia merupakan satu hal yang agak sukar untuk dilaksanakan,” kata penganalisis di kempen Digital Rights, Access Now.
Selain daripada kebimbangan privasi, mereka juga bimbang dengan isu keselamatan data peribadi pengguna kanta lekap tersebut kelak.
Difahamkan juga, kanta lekap pintar itu hanya akan berfungsi ketika ia mengesan pergerakan mata pengguna dan boleh mendedahkan banyak perkara daripada data yang lain.
“Bagaimana jika peranti ini akan mengumpul dan berkongsi data lain melalui banyak perkara seperti berapa lama saya menatap seseorang, kadar degupan jantung ketika saya melihat seseorang serta seberapa gelisahnya saya ketika menjawab soalan dari seseorang?
“Data seperti ini menyebabkan orang lain membuat kesimpulan tentang banyak perkara, (contohnya) termasuklah orientasi seksual sama ada kita bercakap benar ataupun tidak ketika disoal siasat,” tambahnya.
Sumber: BBC