Saintis Temui Sarang Labah-labah Terbesar Dunia Di Sempadan Albania-Greece
Sekumpulan saintis menemukan sarang labah-labah terbesar di dunia yang menempatkan lebih 110,000 ekor haiwan lapan kaki itu di dalam sebuah gua sulfur berhampiran sempadan Albania–Greece, lapor Metro UK.
Jaring itu meliputi 1,140 kaki persegi, bersamaan saiz rumah separa berkembar di United Kingdom (UK) dan didiami dua spesies labah-labah, iaitu Tegenaria domestica dan Prinerigone vagans (P vagans).
Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Subterranean Biology, kedua-dua spesies itu hidup bersama dalam satu lapisan jaring berselang-seli sepanjang dinding di laluan rendah.
Difahamkan, sarang labah-labah tersebut ditemui di Sulfur Cave, di mana ia terbentuk akibat reaksi hidrogen sulfida dari air bawah tanah dengan oksigen dan menghasilkan asid sulfurik.
Kurator koleksi labah-labah di Berlin Natural History Museum, Jason Dunlop berkata, ini mungkin contoh pertama dua spesies labah-labah membentuk koloni dalam gua.
“Apa yang menakjubkan di sini ialah, pertama sekali, terdapat sekumpulan labah-labah yang hidup secara komuniti dalam gua
“Menariknya di sini, terdapat sekumpulan labah-labah yang hidup secara berkumpulan dalam gua walaupun spesies ini biasanya membina sarang komuniti yang besar di luar, merentangi keseluruhan pokok atau semak
Jaringan labah-labah dikesan pada tahun 2022
“Yang benar-benar tidak dijangka ialah dua spesies labah-labah berbeza daripada dua keluarga berbeza terbabit, sejenis labah-labah rumah seperti yang kadang-kadang muncul di tab mandi
“Satu lagi labah-labah kecil. Itu unik setakat pengetahuan saya,” kata beliau.
Dunlop menegaskan, koloni ini bukan seperti sarang lebah atau koloni semut kerana tiada labah-labah ‘ratu’ mengawal jaring, sebaliknya ia lebih menyerupai perkongsian ruang berhampiran sumber yang kaya makanan.
Jaring itu pertama kali dikesan oleh ahli gua dari Czech Speleological Society pada 2022 dan dianalisis oleh penyelidik dari Sapientia Hungarian University of Transylvania dua tahun kemudian.
Saintis mendapati labah-labah rumah yang lebih besar memakan lalat kecil dan bukannya P vagans, kerana kegelapan dalam gua membuatkan mereka tidak dapat melihat labah-labah yang lebih kecil itu.
Limpahan makanan dalam gua itu, membolehkan kedua-dua spesies hidup bersama pada kepadatan puluhan ribu haiwan tanpa konflik kanibal.
Menurut Metro UK, analisis perut labah-labah turut menunjukkan, mereka sebahagian daripada ekosistem kompleks, yang mana lalat memakan lapisan mikroba putih yang dihasilkan oleh bakteria pengoksida sulfur.
Sumber: Metro UK