Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sarawak Tegas Tolak Kemasukan Pelarian Rohingya Sejak 2017
Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa keputusan untuk tidak membenarkan kemasukan pelarian Rohingya ke negeri itu sejak tahun 2017 merupakan langkah yang tepat demi menjaga kestabilan sosial serta kepentingan rakyat tempatan dalam jangka panjang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.
Ini termasuk cabaran sosial yang mungkin timbul sekiranya isu pelarian tidak diuruskan secara terancang dan berkesan.
Menurut beliau, pengalaman yang berlaku di beberapa kawasan lain menunjukkan pengurusan pelarian yang tidak sistematik boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial serta memberi tekanan kepada komuniti setempat.
"Sarawak sejak tahun 2017 lagi tidak membenarkan kemasukan pelarian Rohingya ke negeri ini. Saya masih ingat Premier pada masa itu sudah menyatakan bahawa kita tidak mahu terlibat. Kita dapat lihat sekarang, keputusan yang dibuat pada 2017 adalah tepat," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sidang media Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (Samarahan Food and Cultural Festival 2026) di Bangunan Baitulmakmur 2, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Karim menjelaskan bahawa pendirian Sarawak itu bukan bermakna kerajaan negeri tidak mempunyai sifat kemanusiaan terhadap golongan yang memerlukan bantuan.
"Kita tidak kejam. Kita akan membantu apabila ada keperluan. Tetapi sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu menerima pelarian dari luar, pastikan ia diuruskan secara teratur supaya tidak menimbulkan masalah sosial kepada penduduk tempatan," ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa Sarawak sentiasa menunjukkan sikap prihatin terhadap individu yang memerlukan bantuan, termasuk warga asing yang berada di negeri itu, seperti yang dapat dilihat ketika pandemik COVID-19.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan kemasukan pelarian perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat tempatan, termasuk aspek peluang pekerjaan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan tiada persaingan tidak seimbang yang boleh menjejaskan kehidupan serta peluang yang dinikmati oleh komuniti tempatan.